~ on Friday, July 18, 2014 ~ 0 comments
MH17: Bapa Pramugari Terkejut Pesawat Ditembak
GEORGE TOWN: Keluarga
pramugari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, Nur Shazana Mohamed
Salleh, 31,(gambar) yang dilaporkan terhempas di Ukraine berdekatan
sempadan Rusia, terkejut dan tidak menyangka anaknya turut berada dalam
pesawat berkenaan.
Bapanya, Mohamed Salleh
Samsuddin, 54, berkata beliau mengetahui mengenai tragedi yang menimpa
anaknya itu daripada kawan-kawan Nur Shazana selain pihak MAS yang turut
menghubunginya kira-kira pukul 11 malam Khamis.
Beliau dan isterinya
Sharom Ibrahim, 56, terkejut selepas mengetahui mengenai tragedi
berkenaan kerana anak sulungnya itu baru sahaja menghantar mesej pada 16
Julai lepas menerusi sistem WhatsApp.
"Dia (Nur Shazana)
meminta kami mengirimkan gambar anak saudaranya bersama gambar kad
pengenalan saya dan emaknya. Pada masa itu, saya tidak mengesyaki
apa-apa kerana dia sangat ceria.
"Dia juga pesan supaya
menunggunya pulang pada hari raya kedua kerana mahu menziarahi kubur
arwah neneknya bersama-bersama kami," katanya kepada pemberita ketika
ditemui di kediamannya di Bukit Gedung, di sini.
Sharom Ibrahim, 57, memegang gambar anaknya Nur Shazana yang turut terkorban dalam nahas MH17 di Ukraine.
Nur Shazana Maut |
Nur Shazana antara 15
anak kapal bersama 280 penumpang dalam pesawat MH17 yang terputus
hubungan kira-kira pukul 12.15 tengah hari (waktu Amsterdam) di
kedudukan 30km dari Tamak, sekitar 50km dari sempadan Ukraine dan Rusia.
Agensi berita
antarabangsa telah melaporkan sebuah pesawat Malaysia yang membawa 295
orang terhempas di Ukraine berdekatan sempadan Rusia.
MAS dalam tweet
terbaharunya menyatakan ia telah terputus hubungan dengan pesawat itu
dan kedudukan terakhir penerbangan itu ialah di ruang udara Ukraine.
Mohamed Salleh berkata beliau cuba menghubungi anaknya itu, namun tidak mendapat maklum balas.
Beliau berkata keluarganya akan menunggu maklumat lanjut daripada MAS sama ada perlu ke Kuala Lumpur atau tidak.
Ditanya mengenai Nur
Shazana, Mohamed Salleh berkata anaknya itu berkhidmat sebagai pramugari
MAS sejak sembilan tahun lepas dan Nur Shazana sangat meminati
profesion itu sejak kecil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan