Malaysia Airlines (MAS) hari ini mengesahkan empat penumpang Penerbangan MH17, yang sebelum ini tidak dapat dikenal pasti, sebagai warganegara Netherlands.
Pengesahan ini menjadikan jumlah rakyat Netherlands yang menaiki pesawat malang itu 192 orang.
Pecahan terkini kerakyatan mereka yang menaiki pesawat itu ialah Netherlands (192), Malaysia (44), Australia (27), Indonesia (12), United Kingdom (10), Belgium (empat), Jerman (empat), Filipina (tiga), Kanada (satu) dan New Zealand (satu), kata syarikat penerbangan itu dalam kenyataan di Kuala Lumpur.
MAS berkata pihaknya kini bekerjasama rapat dengan kedutaan negara terbabit untuk mendapatkan pengesahkan tentang waris penumpang.
"Fokus kami sekarang ialah bekerjasama dengan pasukan dan pihak berkuasa kecemasan serta memberi sokongan penuh terhadap usaha menyediakan segala bantuan yang termampu kepada waris.
"Kami juga akan memaklumkan tentang perkembangan terkini dari semasa ke semasa," katanya.
Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terhempas di Ukraine, berhampiran sempadan negara itu dengan Rusia, pada Khamis.
Pesawat malang itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Netherlands), Khamis dan dijadual tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) pada Jumaat.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan