Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai melahirkan kebimbangan bahawa kawasan nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 di timur Ukraine diganggu.
“Integriti kawasan itu telah terjejas dan ada tanda-tanda bahan bukti penting tidak dipelihara.
“Gangguan di lokasi nahas boleh menyebabkan siasatan itu sendiri terjejas,” katanya dalam satu sidang media petang ini.
Liow berkata tindakan seperti itu boleh dianggap sebagai pengkhianatan kepada 298 nyawa yang terkorban dalam nahas pesawat berkenaan.
"Sebarang tindakan yang menghalang kita dari mengetahui kebenaran dalam kes MH17 tidak akan diambil mudah.
"Malaysia menuntut semua pihak agar mempertahankan integriti kawasan nahas dan membenarkan siasatan berjalan,” katanya.
Kenyataan itu timbul susulan aduan dari pemerhati Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE), yang kesal kerana kumpulan militan tidak memberi akses sepenuhnya ke kawasan nahas dan turut mendakwa terdapat bahan bukti yang dicuri.
Setakat ini masih belum ada pihak yang mendakwa bertanggungjawab atas bencana yang menimpa MH17 dan kerajaan Ukraine dan pemisah pro-Rusia saling tuduh-menuduh antara satu sama lain sebagai pihak yang bertangunggjawab.
Sementara itu, laporan Bernama menyebut, Liow berkata sebarang tindakan untuk tidak membenarkan pasukan penyiasatan khas Malaysia daripada memasuki kawasan kemalangan Malaysia Airlines penerbangan MH17, adalah tidak berperikemanusiaan.
Beliau berkata ini disebabkan Malaysia masuk ke kawasan itu atas alasan kemanusiaan, dan itulah sebabnya negara ini membuat gesaan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
"Kami juga meminta pihak berkuasa Ukraine untuk menyediakan kepada kami koridor selamat dan ini mesti dilakukan dengan pantas untuk mendapatkan mayat mangsa.
"Perkara ini sangat penting dan itulah sebabnya kerajaan Malaysia menghantar saya ke Ukraine untuk mempercepatkan kerja sepantas mungkin," katanya dalam sidang akhbar itu.
Liow akan berlepas ke Kiev, Ukraine malam ini, untuk membantu memudahkan pasukan penyiasatan khas Malaysia memasuki kawasan kemalangan itu.
Pasukan itu yang disertai 131 petugas, termasuk 24 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia dan pegawai forensik polis tiba di Kiev awal pagi Sabtu.
Ketika menegaskan kepentingan untuk memelihara kawasan nahas, Liow berulang kali berkata Malaysia amat bimbang dengan kerja yang dilakukan di kawasan kemalangan memandangkan pasukan penyiasatan Malaysia masih belum mendapat kebenaran untuk memasuki kawasan itu.
"Sebab itulah kami merayu sokongan dunia untuk memastikan bahawa kawasan kemalangan dan bukti yang ada tidak diusik agar keadilan dapat ditegakkan.
"Kami harap kami dapat memasuki kawasan itu seperti yang dijanjikan kerajaan Ukraine," katanya.
Menjawab soalan lain, Liow berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil beberapa tindakan proaktif supaya semua mayat mangsa dan kotak hitam segera ditemui.
"Beliau (Najib) menghubungi banyak pemimpin termasuk Presiden Ukraine, Putin (Presiden Rusia), David Cameron (Perdana Menteri United Kingdom) dan Ban Ki-moon (Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan merayu kepada dunia agar kami memperoleh laluan selamat untuk memasuki kawasan kemalangan.
"Putin telah memberi jaminan untuk melakukan yang terbaik bagi membantu kami," katanya.
Liow berkata rakyat Malaysia berasa amat marah dan sedih berhubung tragedi ini dan menggesa supaya keganasan dihentikan dan kehidupan dihormati.
"MH17 telah menjadi isu geopolitik. Namun begitu kita tidak harus lupa bahawa ini adalah tragedi kemanusiaan. Beberapa hari selepas pesawat ini terhempas, mayat 298 orang di dalam pesawat ini masih belum ditemui.
"Warganegara dari sebelas negara – tidak seorang pun daripada mereka terlibat dalam konflik di Timur Ukraine – tidak dapat disemadikan. Kehidupan mereka diragut oleh keganasan; kini keganasan juga menghalang mereka daripada diberi penghormatan terakhir. Ini tidak boleh dibiarkan berterusan.
Pesawat MH17 sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Ukraine. Kapal terbang itu membawa 298 orang – 283 penumpang dan 15 kru.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh.
MH17 berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Netherlands) Khamis dan sepatutnya tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat.
Admin Resah:
Menembak pesawat awam itu sudah semestinya tindakan kejam lagi tidak berperikemanusiaan... hatta mereka yang kejam akan pasti mencari jalan untuk menutup atau menghapuskan bukti kekejaman mereka. Apatah lagi melihat lokasi MH17 ini jatuh pun ianya terletak di kawasan puak pemisah pro-Rusia atau kawasan bergolak politiknya.
Jika kita lihat di YouTube pesawat ini pun habis lebur terbakar; sudah pasti banyak bukti telah jadi abu. Dua kemungkinan ianya lebur memang tak sempat diselamatkan atau sengaja dibiarkan terbakar. Kemudahan untuk pihak bomba memadam kebakaran pun amat tipis sebab ianya terhempas di kawasan ladang yang terpencil. Malahan ada laporan bangkai yang besar ingin dipindahkan oleh kumpulan pemisah agar bukti yang boleh menuding angkara mereka dapat ditutup. Ianya benar atau sekadar provokasi.
Di satu sudut yang lain Rusia pula menuduh ini kerja Ukraine, pergolakan politik antara Rusia & Ukraine juga boleh menjadi penyebab sukar disiasat kesahihan ini kerja siapa. Pakar dalam siasatan senjata peperangan sahaja yang boleh mengesan peluru berpandu ini milik siapa asalnya. Itu pun jika bahan bukti atau serpihan peluru berpandu ini masih ada. (Atau tiada serpihan peluru berpandu jika ianya telah kena pada sasaran)
Akhirnya kita umat manusia yang lemah memang akan menjadi makanan mereka yang kuat, hebat & berkuasa. Tamadun manusia sering berulang & berulang. Kita sekadar melihat satu kekejaman itu terus berlaku. Dunia sekadar dapat simpati atau membantu dari jauh. Maka kehancuran sesuatu kaum itu akan terus berlaku bagaikan peristiwa di Gaza kini. Lambat laun ianya sekadar menjadi sejarah. Kita tahu akhirnya siapa kejam siapa dikejami tetapi samalah kita terpaksa terima seadanya kekejaman & keegoan manusia ini. Ianya amat terkutuk tak akan berakhirnya karma perundangan dunia yang naif ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan