KUALA LUMPUR: Malaysia akan melantik penyiasat bebas bagi mengetuai pasukan penyiasat yang terdiri daripada tiga kumpulan, kata pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Katanya, kumpulan itu ialah kebolehgunaan pesawat, operasi serta perubatan dan faktor manusia.
"Kumpulan kebolehgunaan pesawat akan melihat soal seperti rekod penyelenggaraan, struktur dan sistem. Kumpulan operasi pula akan menyiasat perkara seperti perakam data penerbangan, operasi dan kajicuaca.

"Kumpulan perubatan dan faktor manusia pula akan menyiasat isu seperti psikologi, patologi dan faktor kelangsungan," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.

Hishammuddin berkata, pasukan siasatan itu akan turut disertai wakil negara bertauliah dan Australia sudah menerima pelawaan Malaysia untuk menyertai pasukan nya.

"Kita akan juga memasukkan China, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis sebagai wakil bertauliah bersama negara lain yang kita fikir boleh membantu," katanya.