Ketik sini akan bantu Blog ini

Seyogia

☼ ◙ ☼ ◙ ☼ ◙ Resah lebih kepada situs yang menemukan nilai diri Penyair iDANRADZi... ianya sekadar isu sisi bagi memeriah situs utama yang telah lama berkembang... terselit pelbagai makna yang nyata & tersembunyi. ☼ ◙ ☼ ◙ ☼ ◙... Resah lebih kepada situs yang menemukan nilai diri Penyair iDANRADZi

Selasa, 22 Julai 2014

Kakitangan MAS bergelut dengan kehilangan selepas tragedi MH370-MH17 – Malaysian Insider

mh17 mh370

Pramugara dan pramugari Malaysia Airlines (MAS), Hezeita Mohd Hafiz (kiri) and Zulkarnain Abdul Ghani ketika temubual bersama The Malaysian Insider di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 20 Julai, 2014. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim

Saat menerima berita kehilangan 15 rakannya dalam nahas pesawat MH17 di Ukraine pada Jumaat lalu, reaksi pertama pramugari Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) Hezeita Mohd Hafiz adalah untuk berdiam diri di rumah dan meratapi kehilangan.

Belum pun reda kesedihannya mengenangkan nasib 12 rakan sekerjanya yang hilang dalam pesawat MH370 Mac lalu, berita nahas MH17 terasa seperti ‘deja vu’ (peristiwa lama berulang kembali) kepadanya, membuatkan dia menyoal diri: “Mengapa?”

Bagaimanapun, menahan diri dari keinginan untuk mengambil cuti sakit, beliau memaksa dirinya bekerja pada hari itu dan menyembunyikan kesakitan di jiwanya di sebalik tugas profesionalnya.

Penumpang yang dilayan Hezeita pada hari itu tidak menyangka gadis itu sedang melawan kesedihannya sambil melemparkan senyuman dalam pesawat MAS yang sama dengan yang ditembak jatuh di Ukraine beberapa jam sebelumnya, membunuh 298 penumpang termasuk 15 rakan sekerjanya.

Walaupun berpengalaman dalam bidang pramugari selama lebih dua dekad, beliau kini takut setiap kali pesawat yang dinaikinya mula bergegar.

“Sebelum ini, saya yakin dengan keupayaan kapten mengemudi pesawat walau dalam keadaan bergelora mana sekalipun,” kata Hezeita, 40, kepada The Malaysian Insider.

“Tetapi kini setiap kali kapal terbang terjungkit, saya terus teringatkan MH17 – kapal terbang yang ditembak, kawan-kawan yang terkorban, keadaan yang di luar kawalan.”

Sejak tragedi MH17, anak kapal MAS mula melakukan perubahan kecil tetapi bermakna dalam rutin harian mereka bagi meringankan beban kesakitan yang ditanggung.

Penyelia dalam penerbangan, Zulkarnain Abdul Ghani, 51, memberitahu The Malaysian Insider setiap kali sebelum memulakan perjalanan dia akan meminta penumpang bertafakur selama seminit demi memperingati MH370 dan MH17.

“Saya anggap semua anak kapal macam anak sendiri; kami bertahun-tahun mengenali satu sama lain, sampai sekarang saya masih susah bagi saya untuk menerima semua ini,” katanya, suaranya bergetar dengan emosi.

“Sebaik mendengar berita kemalangan tersebut, emosi saya terganggu. Semasa bekerja di atas pesawat, kadangkala saya gagal mengawal emosi dan terus bergegas ke tandas untuk menangis.

“Selepas tragedi MH370 kini timbul pula tragedi lain. Saya tidak boleh terima,” kata Zulkarnain.
Hezeita berkata, suratkhabar kini tidak lagi disediakan untuk penumpang kerana dikhuatiri mereka akan mula bertanya anak kapal soalan yang terlalu menyakitkan untuk dijawab.

“Setakat ini tiada penumpang yang mahu akhbar dan hanya seorang sahaja yang pernah bertanya kami tentang MH17, iaitu, siapa yang tembak pesawat itu. Kami hilang kata-kata untuk menjawabnya,” katanya dalam senyum pahit.

Seperti penyelianya, Hezeita juga mengalami banyak saat-saat apabila dia tidak mampu mengawal perasannya di atas kapal.

Katanya, insiden kehilangan MH370 memberi kesan trauma kepadanya apabila tidak boleh bersendiri dalam tempoh yang lama.

“Saya tidak boleh bersendiri. Saya perlu dikelilingi oleh rakan dan membincangkan tentang apa yang terjadi dan berdoa bersama,” katanya.

Tetapi di tempat kerja, kedua-dua atendan penerbangan kanan itu perlu menunjukkan sikap tabah memandangkan anak kapal yang lain, yang jumlahnya kini makin berkurang selepas dua insiden itu, mengharapkan mereka berdua untuk memimpin mereka.

“Semua yang terkorban itu kawan saya; Azrina dan saya daripada Alor Star dan kami bersukan bersama,” kata Hezeita merujuk kepada ketua pramugari Azrina Yakob.

Zulkarnian pula berkata beliau pernah bekerja dengan beberapa anak kapal MH17 dalam bulan Ramadan ini dan terkenang kembali saat mereka berbuka puasa bersama-sama.

“Walaupun ada yang bukan Islam, tetapi ketika berbuka puasa mereka tolong saya menyediakan juadah. Kami seperti satu keluarga.

“Seperti Angeline, kami memanggilnya ‘Angel’ kerana dia sangat baik hati. Setiap kali saya teringatkan dia saya menangis,” katanya merujuk kepada pramugari Angeline Premila Rajandran.

Katanya, dia ada berbual dengan Azrina baru-baru ini dan bercerita betapa dia tidak sabar untuk pulang ke kampung beraya bersama keluarga.

“Kedua-dua anak Angeline dan Azrina sedang menantikan kepulangan mereka. Saya bagaikan tidak percaya mereka sudah tiada,” katanya.

Zulkarnain turut mengimbas kembali dua daripada anak kapal MH17 sebelum ini terselamat daripada tragedi MH370 apabila menukar jadual kerja pada saat akhir, tetapi akhirnya ajal mereka sampai juga.

“Bagi saya ini satu pekerjaan mulia. Kami membantu penumpang, melayan mereka makan dan minum, dan melindungi mereka. Semua ini kami lakukan dengan ikhlas,” katanya.

“Ya, ini satu pekerjaan yang merbahaya. Tetapi saya sedar sejak dari hari saya menyertai MAS, yang kami perlu terima risiko yang datang bersama tugas ini.

“Saya kuat berpegang kepada ketentuan Allah, apa-apa yang terjadi saya terima,” katanya.

Katanya, keluarga dan sahabatnya bimbang beliau juga mungkin akan mengalami nasib sama dengan 537 orang yang berada dalam pesawat MH370 dan MH17.

“Saya beritahu mereka, walaupun saya mati dan jasad saya tiada lagi, roh saya masih tinggal di hati mereka yang saya pernah layan selama ini.”

Mereka berkata yang penting sekarang anak kapal perlu tabah dan menyokong satu sama lain dalam masa yang sukar, dan berdoa untuk mereka yang terkorban.

“Kita perlu buka mata seluasnya dan cuba faham kenapa ini terjadi. Apa kesalahan yang sudah kita lakukan dan apa yang Tuhan hendak cuba sampaikan?

“Tetapi, apa-apa pun, kita tak boleh salahkan MAS,” kata Hezeita.

Sabtu lalu, Kesatuan Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) berkata insiden MH370 dan MH17 menyebabkan 3,000 ahlinya patah semangat.

Ada yang gagal menerima kenyataan kehilangan rakan sekerja dan tidak dapat menjalankan tugas dengan baik.

Kebanyakan anak kapal MAS di KLIA juga kelihatan tertekan dan enggan bercakap dengan The Malaysian Insider.

Ada juga ketika dihubungi enggan bercakap kerana ‘terlalu awal’ untuk membincangkan tragedi itu dengan media.

Pesawat MH17 ditembak jatuh pada Khamis lalu selepas terbang di laluan kawasan konflik di timur Ukraine dan mengorbankan 298 nyawa termasuk 15 anak kapal dan tiga bayi.

Kejadian terjadi dalam tempoh empat bulan selepas kehilangan MH370 bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal pada 8 Mac lalu.

Dua tragedi itu mengorbankan 537 nyawa, jumlah terbesar yang pernah direkodkan dalam sejarah syarikat penerbangan negara dalam tempoh yang singkat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan