Antara alasan yang sering digunakan sejak bertahun lamanya
oleh rejim pengganas Zionis sebagai legitimasi kepungan dan serangan
mereka ke atas Gaza dan pencerobohan mereka di Tebing Barat adalah
‘Israel punya hak untuk mempertahankan dirinya sendiri’ iaitu merujuk
kepada serangan roket oleh tentera pejuang Briged Izzudin Al Qassam dan
Saraya Al Quds yang dilancarkan dari Gaza.
Terkini, ‘Israel
Defense Forces’ (IDF) melalui laman media sosial telah melancarkan
kempen ‘What would you do’ bagi mencari sokongan masyarakat dunia
terhadap serangan yang mereka sedang lakukan di Gaza.
Alasan
ini juga sering diulang-ulang oleh pemimpin-pemimpin dunia bagi
menyokong tindakan rejim pengganas Zionis seperti Obama, John Kerry,
Francois Holande, Angela Merkel dan lain-lain, juga diulang-ulang oleh
media-media yang sering menyebelahi kekejaman rejim pengganas Zionis
seperti CNN, BBC dan ABC.
Malah, ada dari kalangan mereka yang
simpati terhadap Gaza juga menggunakan alasan ini iaitu HAMAS wajib
menghentikan serangan roket untuk mencapai jalan perdamaian dengan rejim
pengganas Zionis dan juga untuk mengelakkan kepungan dan serangan.
Hakikat yang sebenar adalah HAMAS berhak sepenuhnya untuk
mempertahankan diri dengan apa jua cara bahkan lebih dari berhak untuk
menyerang Israel dengan roket dan apa jua persenjataan yang ada.
Sebab yang pertama adalah kerana negara haram Israel dibina di atas
tanah-tanah yang dirampas secara paksa dari rakyat Palestin sejak lebih
60 tahun yang lalu. Ramai yang dihalau keluar dari rumah sendiri untuk
memberi laluan kepada pendatang haram Yahudi untuk mendirikan penempatan
mereka.
Rejim pengganas Zionis juga secara sistematik dengan
menggunakan kekuatan ketenteraan telah menjajah banyak dari
kawasan-kawasan Palestin sejak 1948 dan 1967.
Jadi rejim
pengganas Zionis sebenarnya adalah penjajah dan perampas tanah rakyat
Palestin, dan mereka yang dijajah berhak sepenuhnya secara moral dan
menurut undang-undang untuk berjuang membebaskan negara mereka dari
penjajahan.
HAMAS, Jihad Islam, FATAH dan mana-mana jua
organisasi di Palestin berhak untuk berjuang menggunakan apa jua cara
bagi membebaskan negara mereka dari cengkaman penjajah.
Gaza dibedil Israel tanpa henti sejak bermulanya serangan pada 8 Julai lalu. -Gambar fail
Sebab yang kedua, sejak 60 tahun yang lalu, rejim pengganas Zionis
telah mencabul maruah rakyat Palestin dengan amat kejam. Banyak tragedi
pembunuhan besar-besaran yang langsung tidak diambil tindakan oleh
dunia. Shabra Shatilla, Jenin, pembunuhan 29 jemaah masjid oleh Baruch
Goldstein, pembakaran masjid Al Aqsa oleh pelampau Yahudi pada tahun
1969 dan banyak lagi.
Menurut statistik dari UN sendiri,
dikatakan lebih 0.3 juta rakyat Palestin telah terbunuh sejak 1967
sahaja. Itu belum yang dipenjarakan, mengalami kecederaan kekal, rumah
dimusnahkan dan dihalau keluar.
Apakah satu bangsa yang punya
maruah diri boleh bersabar dan tidak melawan atas penjarahan demi
penjarahan yang dilakukan? Atas sebab ini, roket-roket HAMAS mempunyai
sebab-sebab yang kukuh untuk menyerang kembali bandar-bandar yang dibina
di atas darah rakyat Palestin.
Sebab yang ketiga, rundingan
demi rundingan telah berjalan sejak puluhan tahun, namun rejim pengganas
Zionis tidak pernah menepati janjinya. Tidak pernah ada rundingan yang
menguntungkan rakyat Palestin dan jelas, rejim pengganas Zionis ini
hanya akan tunduk dan faham dengan bahasa kekuatan sahaja.
Sebab yang keempat, Gaza, telah dikepung sejak 7 tahun yang lalu dari
arah darat dan laut. Sempadan Rafah hanya dibuka sekali sekala oleh
Mesir kecuali ketika zaman pemerintahan Presiden Morsi, dan tembok
pemisah yang ada memisahkan Gaza dari dunia luar.
Import banyak
barang-barang diharamkan termasuk barang-barang pembinaan, hanya
barang-barang tertentu sahaja yang dibenarkan untuk dibawa masuk.
Nelayan juga tidak dibenarkan untuk memancing lebih dari 3 batu nautika
dari pantai Gaza. Jika menghampiri atau melebihi jarak tersebut, nelayan
akan ditembak atau ditangkap oleh tentera laut rejim pengganas Zionis.
Sebab yang kelima, Gaza juga telah menjadi sasaran serangan
bertubi-tubi oleh rejim pengganas Zionis sejak tahun 2000, Siapa yang
dapat melupakan serangan demi serangan menggunakan senjata yang
terlarang seperti bom fosforus yang telah membunuh ribuan kanak-kanak,
wanita dan orang-orang tua.
Antaranya adalah serangan pada
tahun 2008 yang telah membunuh lebih 1500 nyawa di Gaza, tidak cukup
dengan itu, kapal bantuan Mavi Marmara yang membawa misi kemanusiaan
yang ingin ke Gaza juga diserang hingga mengakibatkan ada petugas
kemanusiaan yang terbunuh.
Tidak ada manusia yang waras akalnya
yang akan berdiam diri dan hanya melutut bila melihat anak-anak dibunuh
di depan mata, ibu-ibu mereka ditembak dan dibom sesuka hati, sekolah
dan masjid dimusnahkan, bahkan dalam operasi terbaru yang sedang
berjalan sekarang, Hospital juga dibedil hingga ranap.
Media
sosial telah mendedahkan kepada dunia apa yang sedang dan telah berlaku
kepada Gaza secara khusus dan kepada Palestin secara umum yang tidak
pernah dilihat sebelum ini. Melihat kekejaman yang sedang berlaku di
hadapan mata kita semua, apakah masih ada yang mempertikaikan serangan
roket dari tentera Al Qassam dan mempercayai dendangan alasan rejim
pengganas Zionis.