KUALA LUMPUR, 19 Julai:
Insiden tragis yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine, perlu dianggap petunjuk untuk muhasabah diri.

Itulah pegangan Nur Laila Ngah, isteri kepada kru pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, sebagai pembakar semangat untuk meneruskan hidup.

“Saya terkejut apabila mendapat tahu mengenai kejadian berkenaan, kerana ia turut melibatkan bekas rakan sekerja yang juga jiran saya, Shaikh Mohd Noor Mahmood, tetapi saya percaya ini merupakan satu petunjuk daripada Allah.

“Allah mahu tunjukkan sesuatu kepada kita semua, rakyat Malaysia dan kerajaan, bukan sahaja MAS,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Nur Laila turut bersimpati dengan musibah yang menimpa keluarga penumpang dan anak kapal pesawat Boeing 777-200 itu, yang dipercayai tiada mangsa terselamat.

“Saya faham apa yang mereka lalui sekarang bukan sesuatu yang mudah, tetapi percayalah ada hikmahnya,” ujarnya.

Meskipun masih bersedih dengan apa yang menimpa dirinya, Nur Laila berkata, dia tetap memberi sokongan kepada keluarga mangsa MH17.

“Saya doakan mereka terus kekal kuat untuk menerima kenyataan ini, dan saya akan memberi sokongan sepertimana mereka menyokong saya sebelum ini,” katanya.