#MH370: PESAWAT MH370 HILANG KERANA SUPER AIR POCKET | Seorang pensyarah
di USM semalam mengemukakan satu teori baru mengenai kehilangan pesawat
MH370 dengan menyatakan ia mungkin berpunca daripada fenomena super air
pocket atau poket udara berskala luar biasa.
Pensyarah dari Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains
Malaysia (USM), Profesor Dr. Mohd. Omar Ab. Kadir memberitahu, terdapat
kemungkinan pesawat tersebut telah menempuh fenomena poket udara luar
biasa dan mungkin saiznya 10 kali ganda daripada poket udara biasa
sehingga menyebabkan pesawat berkenaan gagal berfungsi.
Menurut beliau yang pernah bertugas sebagai pegawai penyelidik di US
Naval Academy ketika melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah
di Amerika Syarikat memberitahu, kejadian pesawat berkenaan yang gagal
dikesan oleh radar adalah disebabkan oleh vakum yang wujud di dalam
poket udara tersebut.
"Dalam keadaan vakum, sebarang bentuk isyarat serta gelombang tidak
dapat berfungsi dan keadaan itu menyamai situasi yang dihadapi oleh
pesawat MH370 kerana menara kawalan tidak menerima sebarang isyarat
kecemasan semasa pesawat itu dilaporkan terputus hubungan pada pagi
Sabtu lalu," katanya.
Mohd. Omar yang merupakan pemegang Sijil Pemprosesan Signal dan Getaran
dari University of Southamton, England berkata, ketika pesawat itu
melalui kawasan poket udara itu juga, ia telah jatuh dengan kelajuan 10
meter setiap saat atau kira-kira 900 kilometer sejam (km/j).
Jelas beliau, keadaan itu mungkin menyebabkan juruterbang dan penumpang di dalamnya mungkin tercampak atau melambung.
Ekoran kejadian itu, katanya, juruterbang dan pembantunya mungkin
mengalami simptom tidak sedarkan diri sama ada disebabkan oleh pengsan
ataupun telah meninggal dunia akibat komplikasi pada organ dalaman
badan. -KOSMO!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan