• Radar AS mampu kesan MH370
SHAH ALAM - Radar ketenteraan milik Amerika Syarikat di Diego Garcia mampu menjejaki pesawat MH370 sekiranya lokasi penerbangan terakhir adalah di Lautan Hindi.

Pakar Kejuruteraan Penerbangan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Rizal Effendy Mohd Nasir berkata, radar jenis Active Electronically Scanned Array (AESA) yang digunakan di pangkalan ketenteraan itu dipercayai boleh mengesan sebarang isyarat atau objek walaupun ianya bersaiz kecil.

“Radar itu boleh mengesan sesuatu pesawat atau kapal yang berada ribuan meter di atas udara mahupun laut beserta dengan jenisnya, kelajuan dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, setiap kapal dan pesawat yang terdapat dipengkalan ketenteraan terbabit juga dilengkapi dengan radar pertahanan udara.

“Bukan sekadar pesawat atau kapal perang, kapal minyak mereka di Diego Garcia juga dilengkapi dengan kecanggihan radar yang mampu mengesan objek beribu-ribu kilometer jauhnya termasuk apa yang terkandung di dasar lautan Hindi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Rizal berkata, dirinya berkeyakinan penuh setiap kemudahan dan peralatan ketenteraan yang terdapat di Diego Garcia berfungsi untuk menangani sebarang pencerobohan daripada anasir luar.

“Perkara itu sememangnya menimbulkan persoalan besar. Mustahil MH370 tidak dikesan oleh tentera Amerika Syarikat sekiranya lokasi terakhir yang dikesan adalah lautan Hindi,” katanya.

Sementara itu, Pakar Penerbangan, Leftenan Kolonel (B) Mohamed Tarmizi Ahmad berkata, sebilangan besar aset yang berada dipangkalan tentera Amerika Syarikat itu dilihat dapat membantu sekaligus menjayakan misi pencarian pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi.

“Secara dasarnya mereka mampu. Mereka mempunyai kapal terbang dan kapal laut yang boleh bergerak dengan pantas. Ia juga menggunakan teknologi terkini dan canggih.

“Harus diingat bahawa peralatan ini digunakan bagi mencari logam yang besar di bawah laut. Ia juga boleh membantu mengesan logam pesawat,” katanya.

Selain itu, katanya, radar jenis Over The Horizon (OTH) merupakan antara radar yang dimiliki Amerika Syarikat selain disifatkan boleh membantu mengesan MH370.

“Saya tak melihat ianya radar yang paling canggih namun radar jenis ini banyak dipakai oleh tentera Amerika Syarikat dan Britain. Isyarat daripada radar ini dikatakan mampu mengesan objek sejauh 200 batu nautika,” katanya.