Akaun Sina Weibo milik aktor Chen Kan berstatus mengajak orang ramai memboikot produk dan pelancongan Malaysia.
KUALA LUMPUR - Selepas selebriti dan netizen di China mengkritik dan menyalahkan pegawai-pegawai Malaysia berhubung pengendalian tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dalam laman sosial, seorang pelajar wanita China yang melanjutkan pengajian di negara ini, menyuarakan rasa kecewanya dengan tindakan itu.
Zhang Miao, 26, yang melanjutkan pengajian doktor falsafah dalam bidang ekonomi di Universiti Malaya (UM) berkata Malaysia tidak harus dipersalahkan berdasarkan maklumat tidak tepat.
"Sesetengah selebriti dan rakyat China memprovokasi pihak berkuasa Malaysia dan menyarankan memboikot produk Malaysia dalam laman sosial media.
"Secara peribadi, saya rasa Malaysia tidak harus dipersalahkan," katanya dalam temu bual khas dengan Bernama di sini, hari ini.
Selebriti dan netizen China telah membuat saranan dan catatan supaya memulau produk dan pelancongan Malaysia menerusi platform sosial media, Sina Weibo dan Wechat.
Selain itu, sebahagian netizen telah menulis komen yang mengandungi kutukan dan penghinaan dalam laman sesawang Sina Weibo milik penyanyi popular Cina dari Malaysia termasuk Fish Leong dan Victor Wong, lapor South China Morning Post.
Zhang Miao, yang kagum dengan keunikan dan budaya pelbagai kaum negara ini, berkata beliau mahu terus tinggal di Malaysia yang dianggapnya sebagai 'rumah keduanya'.
"Saya rasa Malaysia sentiasa unik dengan pelbagai budaya yangdikongsi oleh orang Melayu, Cina dan India. Saya tidak rasa berjauhan dari keluarga," katanya yang merupakan pemegang biasiswa UM.
Ditanya mengenai perasaan keluarganya selepas tragedi itu, Zhang Miao berkatapada mulanya, keluarga beliau bimbangkan keselamatannya tetapi selepas menjelaskan keadaan sebenar, mereka kembali tenang.
Menetap di Malaysia sejak 2008, Zhang Miao kini boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu asas dan amat meminati makanan tempatan seperti kuey teow, roti canai, teh tarik, laksa dan kari.
Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang termasuk 152 warga China dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Pada 24 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di "selatan Lautan Hindi" berdasarkan analisis data satelit oleh firma telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB). - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan