Ketua-Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman hari ini menafikan laporan yang menyatakan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 membuat bulatan semasa berpatah balik.
"Pesawat itu tidak membuat bulatan, itu tidak benar," kata beliau merujuk kepada laluan melengkung pesawat yang berbeza, yang bocor kepada pihak awam.
Azharuddin menyatakan demikian dalam sidang akhbar rutin, yang turut dihadiri pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, ketua pegawai eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya dan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.
Sebelum ini, rakaman radar tentera Malaysia menunjukkan kemungkinan MH370 telah berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Diagram dikeluarkan Kementeran Pengangkutan bagaimanapun menunjukkan bahawa MH370 telah membuat belokan mendadak, dan bukan bulatan sebagaimana didakwa oleh beberapa pihak.
Mengulas mengenai kerjasama dengan syarikat Boeing, pengeluar pesawat MAS itu, Azharuddin berkata pasukan dari syarikat itu turut menyertai pasukan penyiasat bagi membantu mengesan kedudukan sebenar MH370.
"Mereka bersama dengan National Transportation Safety Board (NTSB), Air Accidents Investigation Branch (AAIB) dan juga pasukan penyiasat dari negara Australia dan juga China, mereka ada di sini dan boleh dihubungi melalui telefon serta emel," katanya.
Hishammuddin turut berkata pasukan Boeing itu akan turut menyertai tiga kumpulan siasatan yang diumumkan hari ini.
"Saya percaya mereka akan tampil ke hadapan, tak ada apa-apa perkara yang nak kita sembunyikan. Biarlah ikut prosedur dan struktur yang telah kita tubuhkan," katanya.
Pencarian peringkat antarabangsa jet Boeing 777-200ER yang hilang itu sedang mengejar masa kerana isyarat kotak hitamnya dijadual padam pada 7 April, 30 hari selepas pesawat itu lenyap dari imbasan radar awam pada 8 Mac.
Penerbangan MH370 itu hilang ketika membawa 227 penumpang dan 12 kru, setelah berlepas kira-kira sejam dari KLIA pada 12.41 pagi 8 Mac.
Ia dijadual mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan