Ketik sini akan bantu Blog ini

Seyogia

☼ ◙ ☼ ◙ ☼ ◙ Resah lebih kepada situs yang menemukan nilai diri Penyair iDANRADZi... ianya sekadar isu sisi bagi memeriah situs utama yang telah lama berkembang... terselit pelbagai makna yang nyata & tersembunyi. ☼ ◙ ☼ ◙ ☼ ◙... Resah lebih kepada situs yang menemukan nilai diri Penyair iDANRADZi

Rabu, 23 April 2014

MH370: Kabinet luluskan penubuhan pasukan penyiasatan antarabangsa

MH370: Kabinet luluskan penubuhan pasukan penyiasatan antarabangsa
 
KUALA LUMPUR: Kabinet telah meluluskan penubuhan sebuah pasukan penyiasatan antarabangsa yang akan menilai punca kehilangan pesawat MH370, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya Kementerian Pengangkutan telah ditugaskan merangka terma rujukan bagi pasukan penyiasatan itu, sementara jawatankuasa kecil yang diketuai Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi ditugaskan menyelaras penubuhan pasukan tersebut.

"Saya juga ingin memaklumkan pasukan penyiasatan antarabangsa itu tidak akan melibatkan aspek jenayah yang mana berada di bawah Polis DiRaja Malaysia (PDRM)," katanya pada sidang media berkenaan Penerbangan Malaysia MH370 di Hotel Royal Bintang, hari ini.

Menurut beliau, siasatan yang dilakukan itu akan dijalankan mengikut peraturan penerbangan awam di mana akan dipantau oleh Malaysia, selaku Ahli Majlis bagi Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Jelas Hishammuddin, ia bagi memantau sama ada siasatan yang dijalankan mematuhi piawaian dan amalan yang disyorkan ICAO terutamanya untuk melihat aspek keselamatan penerbangan awam antarabangsa.

"Penyelidikan ini akan dijalankan mengikut Peraturan Penerbangan Awam 1966 dan standard yang ditetapkan di bawah Lampiran 13 - Penyiasatan Kemalangan dan Insiden Pelawat, Konvensyen Chicago, yang memerlukan setiap pihak untuk menyiasat kemalangan udara secara bebas dengan kuasa penuh di negara-negara masing-masing," katanya.

Menurut Hishammuddin, tujuan utama pasukan ini adalah untuk menilai, menyiasat serta menentukan punca sebenar insiden tersebut supaya ianya dapat dielakkan pada masa hadapan.

Selain itu katanya, Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) yang ditubuhkan di bawah Kementerian Pengangkutan akan bertindak sebagai sektretariat bagi pasukan ini.

Beliau juga memaklumkan bahawa pasukan tersebut akan terbahagi kepada tiga iaitu, kumpulan yang menyiasat tentang kebolehan penerbangan pesawat; kumpulan operasi; dan juga kumpulan perubatan dan faktor manusia.

Kata Hishammuddin lagi, pihaknya sedang berbincang bagi melantik pakar-pakar dari negara-negara ASEAN, serta dalam proses mengenal pasti ahli-ahli pasukan tersebut yang menepati piawaian antarbangsa.

Tambahnya senarai nama-nama tersebut akan diumumkan minggu hadapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan