• Pandikar Amin: Sepanyol simpati kejadian MH370  
  • Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia (kanan) menerima kunjungan hormat Ahli Majlis Tertinggi Kehakiman Arab Saudi Shaikh Saud Abdullah Almujeb (kiri) di pejabatnya di Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Sepanyol menyatakan rasa simpati kepada Malaysia berhubung tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 pada 8 Mac lepas.
  
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata tragedi  itu merupakan perkara pertama yang dibangkitkan Duta Sepanyol di Malaysia Maria Bassols Delgado dalam pertemuan mereka hari ini.
  
"Beliau berkata Sepanyol melahirkan rasa simpati atas tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 dan memberi kata-kata semangat kepada Malaysia agar terus menyelesaikannya tanpa mengambil kira pemikiran orang sinis.
  
"Beliau juga mendoakan usaha mencari dan menyelamat berjalan lancar," katanya kepada Bernama selepas menerima kunjungan hormat Duta Sepanyol itu di pejabatnya di Bangunan Parlimen, di sini.
  
Kunjungan hormat itu bertujuan memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara di samping bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai perkara.
  
Dalam perbincangan setengah jam dengan Delgado, Pandikar Amin berkata duta Sepanyol itu juga menyampaikan hasrat Suruhanjaya Tetap Parlimen Sepanyol berkaitan Hubungan Luar ingin membuat lawatan pertama di Parlimen Malaysia pada November depan.
  
Selepas kunjungan Delgado, Pandikar Amin kemudiannya menerima kunjungan hormat delegasi Kementerian Kehakiman Arab Saudi yang diketuai Ahli Majlis Tertinggi Kehakiman Arab Saudi Shaikh Saud Abdullah Almujeb.
  
Pertemuan itu antara lain bertujuan mendapatkan gambaran dan pengalaman berhubung sistem perundangan dan badan kehakiman negara, selain bertukar-tukar pandangan mengenai sistem kehakiman antara kedua-dua buah negara.

Delegasi itu disertai 16 orang yang terdiri daripada hakim Mahkamah Rayuan Arab Saudi. - Bernama