SETERUNYA selalu gementar — atau sekurang-kurangnya
menunjukkan rasa hormat dengan hati yang berat — apabila mendengar suara
garuk lelaki itu yang diberi julukan sebagai 'Harimau Jelutong'. Baik
di Parlimen atau di mahkamah, sepertinya apabila setiap kali dia
berdehem dan memulakan ucapannya yang keras — seluruh dewan jadi senyap
sunyi.
Tetapi wataknya yang lembut dan budiman menjadikan dia ikon wira dan nama yang menjadi sebutan ramai — dialah Karpal Singh.
Karpal — peguam terhormat, ahli politik dan pejuang keadilan dan
demokrasi yang tegas dan tidak pernah kenal lelah itu — meninggal dunia
pada awal pagi Khamis dalam satu kemalangan jalan raya semasa dalam
perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang untuk mengendalikan satu
kes mahkamah.
Karpal sepatutnya menyambut hari jadi yang ke-74 pada 28 Jun ini.
"Di mahkamah dan di Dewan Rakyat, tidak ada siapa yang berani cari
pasal dengannya. Mereka menikus kerana tidak mahu diserang. Tetapi di
rumah, sewaktu bersama cucu-cucunya, kita akan melihat sisi dirinya yang
penyayang. Apabila anak-anak kecil itu melompat, menumbuk dan menjerit,
dia akan cuba meleraikan mereka. Tetapi dia akan hanya tersenyum dan
berkata 'tak ada siapa yang mendengar aku di sini'," kata seorang
wartawan kanan mahkamah yang menyifatkan Karpal sebagai seorang sahabat.
Karpal
Singh kelihatan keluar dari mahkamah bersama isterinya Gurmit Kaur pada
14 Januari 2000 selepas beliau mengaku tidak bersalah atas tuduhan
menghasut dan Akta Rahsia. -AFP PHOTO/Jimin LAI
Pada kematiannya, Karpal meninggalkan isteri, Gurmit Kaur dan lima anak
mereka — anak perempuan, Sangeet dan anak-anak lelaki, Jagdeep, Gobind,
Ramkarpal dan Mankarpal serta anak-anak mereka — cucu-cucunya.
Adalah satu kebetulan yang tragik apabila nahas jalan raya itu bukanlah
yang pertama bagi keluarga tersebut. Karpal lumpuh dan terikat pada
kerusi roda kerana satu kemalangan pada 2005. Ayahnya, Ram, juga menemui
ajal dalam nahas jalan raya di Amritsar, Punjab pada 1974, hampir 40
tahun lalu.
Dalam kemalangan lebih kurang pada pukul 1 pagi
itu, anak lelakinya, Ramkarpal cedera manakala pemandu mereka yang
berumur 27 tahun terselamat. Amah Indonesianya pula dilaporkan dalam
keadaan parah.
Nahas itu bagaimanapun turut meragut nyawa
pembantu peguam itu, Michael Cornelius Selvam Vellu, 30, yang sudah lama
berkhidmat dengannya
Michael seorang pembantu Karpal yang
setia, yang sudah bersamanya selama satu dekad. Dia selalu ada di sisi
majikannya itu, menolak kerusi roda Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu
serta membantunya dalam urusan harian termasuk menjawab telefon Karpal.
Karpal Singh sewaktu beliau muda.
Setiap kali Karpal terlewat untuk urusan mahkamah, kononnya itu kerana
Michael menguruskan fisioterapinya pada pagi hari. Atas sebab itu,
Karpal baru-baru ini berpindah ke sebuah rumah yang lebih dekat dengan
Parlimen dan mahkamah di Jalan Duta serta hampir juga dengan pejabatnya.
"Karpal menemui Michael di Vellore, Tamil Nadu di selatan India. Tuhan
itu agung. Dia mahu Karpal dibantu juga di sana (selepas mati)," kata
wartawan yang bersahabat dengan Karpal.
Michael meninggal seorang isteri, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan — semuanya di India.
'Legasi undang-undang dan politik'
Legasi Karpal melampaui 'kontroversi' biasa ahli politik-peguam
sepanjang empat dekad kerjayanya. Dia selalu digambarkan sebagai seorang
'patriot' yang tidak hanya meninggalkan bekas kepada dunia perundangan
tetapi juga mengubah undang-undang untuk kebaikan.
Ketua Editor
FreeMalaysiaToday, K. Kabilan berkata legasi Karpal yang terunggul
ialah duluan (precedent) undang-undang yang melata yang beliau bentuk
melalui kes-kes yang dikendalikannya.
"Sistem perundangan kita
mendapat manfaat yang banyak daripada prinsip undang-undang daripada
kes-kesnya, yang dalam banyak keadaan membawa kepada perubahan
undang-undang," kata Kabilan yang sejak kecil membaca kisah Karpal dan
kemudian mula mendekati peguam itu semasa jadi wartawan mahkamah.
Karpal tahu sangat apa yang dia mahukan sebagai seorang peguam: keadilan untuk semua orang yang dia wakili, katanya.
"Saya lihat sendiri beliau memberi yang terbaik untuk anak guamnya
walaupun ada yang menganggap sesetengah kes itu tidak ada peluang. Ada
banyak kes tahanan ISA yang beliau menang atas isu teknikal… Dia selalu
menang lawan kerajaan dalam hal ini," kata Kabilan.
Karpal
merupakan sebahagian daripada banyak kes, sesetengahnya melibatkan
politik dan banyak pula untuk 'orang kecil' termasuk "mereka yang
ditahan secara salah, mereka yang dipecat daripada perkhidmatan awam
kerana alasan yang remeh termasuk seorang anggota tentera yang dituduh
sebagai pengintip".
Karpal Singh sedang berucap semasa majlis makan malam DAP di Pulau Pinang pada tahun 1978.
Peguam dan pensyarah, Datuk Baljit Singh berkata kejayaan dan sumbangan
Karpal kepada negara ini tidak dapat digambarkan. Beliau menyifatkan
Karpal sebagai "ikon undang-undang jenayah" yang "mempunyai hampir 1,000
kes yang dilaporkan dalam jurnal perundangan".
Selain kes liwat Anwar Ibrahim, dua kes yang dikendalikan oleh Karpal jadi kes duluan.
Satu daripadanya ialah kes penting pada 1996 iaitu kes S. Arulpragasan
yang merungkaikan permasalahan mengenai beban pembuktian. Melalui kes
itu, pihak pendakwa harus membuktikan kes mereka melampaui keraguan
munasabah sebelum mahkamah boleh mengarahkan tertuduh membela diri.
Keputusan kes Teh Cheng Poh pada 1979 yang diheret sampai ke sidang
Majlis Privy di England menetapkan bahawa Perisytiharan Darurat dan
keputusan Kabinet yang dimasyhurkan oleh Yang Di-Pertuan Agong boleh
disemak oleh mahkamah.
'Menjadi orang yang luar biasa'
Baljit yang sekampung dengan Karpal di Pulau Pinang turut mengenang
satu peristiwa semasa dia bersekolah dengan anak-anak Karpal.
"Bas sekolah rosak. Karpal memandu sendiri keretanya bersama
anak-anaknya untuk mengambil saya ke sekolah. Apa yang dibuat oleh
Harimau Jelutong itu saya ingat sampai sekarang," katanya.
Karpal —
yang beliau anggap sebagai pakcik, teman dan mentor — adalah contoh
"dedikasi, kerja keras, kejujuran dan keberanian" dan meninggalkan
"kasut besar untuk diisi", kata Baljit.
Seorang lagi teman
keluarga yang rapat, Ranjit Singh berkata: "Dia seorang yang membela
orang biasa dan dia menyuarakan suara mereka, baik di mahkamah atau
kepada tokoh besar di parlimen.
Menurut Ranjit, ayahnya biasa
menumpangkan Karpal dengan kereta untuk ke mahkamah di Pulau Pinang dan
dia selalu mahu jadi seperti Karpal kerana peguam itu orang yang
berprinsip.
"Dia peguam perlembagaan dan jenayah yang terbaik
di negara ini. Tetapi pada masa sama, kepada mereka yang tidak berduit,
saya tahu dia baik dengan mereka," katanya.
'Budiman kepada wartawan'
Daripada pelbagai cerita, Karpal selalu budiman kepada wartawan, selalu
sedia meluangkan masa untuk menerangkan kes yang mereka tidak faham
malah selalu pula melayan soalan-soalan yang 'bodoh'.
"Saya
tidak pernah lihat dia marahkan wartawan walaupun dia menunjukkan
kemarahannya semasa berhujah — marah kepada mahkamah, atau kepada saksi
atau pendakwa raya atau peguam lawannya.
"Kalau dia marah, dia
betul-betul marah. Kata-kata yang keluar dari mulutnya seperti
halalintar. Orang jadi takut kalau anginnya tak baik," kata Kabilan. Dia
menambah sepanjang berkenalan dengan peguam kanan itu, dia sangat
menikmati jenaka-jenaka Karpal.
Kesabaran Karpal itu menyentuh
perasaan Penolong Pengarang Berita The Malaysian Insider, V. Anbalagan.
Katanya, dia hairan apabila selepas bertahun-tahun bersahabat dengan
Karpal, peguam itu tidak pernah meremehkan biar soalan yang paling
mudah.
Karpal
mengetuai barisan pembelaan bagi kes mata hitam pemimpin pembangkang
Anwar Ibrahim. Karpal bersama (dari kiri) Gobind Singh Deo, Jagdeep
Singh Deo, dan Zainul Zakaria ketika meninggalkan ibu pejabat polis
persekutuan di Kuala Lumpur pada 22 Februari 1999 -. AFP PHOTO / Leo
Chan
"Dia tahu kerjanya sebagai peguam
adalah juga untuk membantu wartawan mendapatkan fakta yang betul. Itu
penting," katanya, yang kali terakhir bertemu dan berbual dengan Karpal
pada petang sebelum nahas itu.
"Saya akan sangat-sangat
merinduinya. Dia seorang yang sangat positif. Sebagai seorang ahli
politik pembangkang, adakalanya apa yang dia lakukan menyebabkan
undang-undang dipinda dan dia boleh datang ke mahkamah untuk mengatakan
Parlimen sudah tersilap
"Dia penggubal undang-undang yang
sebenarnya. Dia tahu apa yang diharapkan daripada ahli parlimen dan dia
tahu apa yang dia lakukan apabila membahaskan rang undang-undang,"
katanya.
Kerusi pertama Karpal selepas terjun ke dunia politik
kerana rusuhan kaum 1969 ialah terpilih sebagai wakil rakyat di Kedah
pada 1974. Dia kemudian jadi Ahli Parlimen Jelutaong pada 1978, kerusi
yang dipertahankannya sehingga dia kalah pada 1999. Dia kembali ke
Parlimen pada 2004 sebagai Ahli Parlimen Bukit Gelugor.
"Dia
pernah beritahu saya, tidak kiralah kamu ini wartawan jenis apa, jadilah
wartawan yang bertanggungjawab," kata seorang wartawan hiburan.
Seorang wartawan kanan memberitahu, biarpun bekerja kuat dan mempunyai
gaya hidup yang penuh disiplin, Karpal sekali sekala akan makan makanan
yang agak manis atau berminyak. "Walaupun dia menjaga makanan, dia
pernah kata kepada saya: jangan terlalu tegar, sekali sekala kena ikut
kata hati."
Pejuang sehingga akhir hayat
Biarpun Karpal tidak menunjukkan belas kasihan kalau dia percaya dia di
pihak yang benar, dia bagaimanapun adil kepada lawannya. Semasa dia
hendak disabitkan tuduhan dan dijatuhkan hukuman atas dakwaan menghasut
berhubung satu kenyataannya mengenai krisis perlembagaan Perak pada
2009, Karpal tidak mengata pendakwanya.
"Peguam dan
penyokongnya semua marah dan menghamburkan kata-kata kesat ketika
pendakwa raya mendesak supaya Karpal dikenakan hukuman penjara. Saya
duduk dekat dengannya dan saya nampak dia menoleh kepada Gobind dan
berkata: Kenapa macam ini… biarkan dia buat kerjanya. Jangan ganggu
dia," cerita seorang wartawan.
Apabila dijatuhkan hukuman denda
RM4,000, Karpal hanya tenang dan berkata dia telah mengharungi perkara
yang lebih buruk dan "sebagai ahli politik, kita mesti berani".
Kali pertama dia didakwa dengan tuduhan menghasut ialah pada 2002 dan
dia ditahan dia tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1987
semasa Operasi Lalang kerana mencetuskan ketegangan kaum.
Karpal juga seorang lantang biarpun kelantangannya bermakna akan
membangkitkan kemarahan rakan politiknya dalam DAP atau Pakatan Rakyat.
Foto: Karpal Singh dalam kenangan
Dia menentang agenda PAS mahu melaksanakan hudud. Dia mengkritik Anwar
Ibrahim kerana janji 16 September. Dia mengkritik Ketua Menteri, Lim
Guan Eng kerana dikatakan cuba merekrut pemimpin Barisan Nasional
selepas berkuasa di Pulau Pinang. Dia juga menyelar Timbalan Ketua
Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy supaya tidak jadi seperti "panglima
perang".
Di pejabatnya di Pudu, kehilangan tragik itu disambut oleh kakitangan firma guamannya yang setia dengan terus bekerja.
"Dia selalu bekerja tanpa tahu penat lelah. Dia bekerja dan bekerja
sampai ke malam. Dia seorang yang kuat bekerja," kata seorang kakitangan
yang sudah berkhidmat dua tahun di pejabat itu.
"Dia menerima kes tanpa memilih anak guam; kaya atau miskin, semua dia terima," katanya.
Pejabat Karpal Singh yang kini kosong.
Pejabat Karpal Singh yang dihiasi dengan keratan akhbar dan pelbagai
tanda penghargan kepada peguam itu termasuk sekeping poster "Singh is
King" kini tinggal kosong.
Dalam beberapa wawancara, Karpal
yang meletakkan jawatan sebagai pengerusi DAP kerana kes hasutan
baru-baru ini selalu menegaskan bahawa beliau tidak akan pernah bersara.
Wakil rakyat yang balik kawasan ke Bukit Gelugor setiap minggu itu
mengatakan bahawa "saat yang paling menyedihkan dalam hidupnya ialah
apabila dia mahu berkhidmat kepada pengundinya tetapi tidak lagi mampu.
"Saya pernah bertanya apakah dia akan bersara. Dia hanya tersenyum
sinis dan kemudian ketawa. Katanya, itu tidak akan terjadi kerana
bersara bermakna berakhirlah riwayatnya," kata seorang wartawan kanan.
Dalam satu wawancara dengan sebuah portal berita, Karpal berkata: "Pada
hari saya memikirkan hal itu (tentang persaraan), siaplah, saya mungkin
rebah dan itulah penghujung hayat saya."