Diterbitkan: Selasa, 27 Mei 2014 2:00 AM
Yammy pada malam Isnin membuat pengakuan bahawa beliau masih ahli Umno dan Perkasa.
"Saya ahli Umno dan saya juga ahli Perkasa, jadi apa masalahnya? Ahli Perkasa itu adalah saya dan bukannya Dyana.
"Terpulang kepada mereka sekiranya mahu mengenakan tindakan atau apa sahaja terhadap saya.
"Jika mereka (Umno dan Perkasa) tidak mahu saya, mereka boleh pecat saya. Saya masih menyokong Dyana kerana dia anak saya," katanya kepada pemberita pada ceramah anjuran DAP di Taman Industri Anson dekat sini, malam Isnin.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Dyana yang mengaku ibunya pernah terlibat dalam penubuhan Perkasa.
Dyana turut mengaku pernah membantu ibunya mengendalikan sesi pendaftaran keanggotaan Perkasa pada 2008.
Ditanya sama ada beliau ada menerima surat tunjuk sebab, Yammy berkata: "Tidak ada setakat ini."
Selain itu, Yammy berkata, tiada sebab untuk beliau mempelawa Dyana menyertai Perkasa kerana anaknya sememangnya tidak mahu menjadi ahli pertubuhan itu.
"Dia (Dyana) tak suka (untuk sertai Perkasa) dan dia bukan ahli Perkasa, " katanya.
Mengenai peluang Dyana pada PRK itu, Yammy yakin peluang anaknya menang kini mencecah 80 peratus.
"Saya rasa berdasarkan sambutan orang ramai. Setiap tempat yang dia pergi, orang terima dia.
"Tetapi menang atau kalah itu Tuhan punya kuasa," katanya sambil menambah bahawa Dyana juga boleh menarik undi Melayu.
Ditanya sama ada kedudukannya sebagai ahli Umno dan Perkasa akan mempengaruhi undi Dyana, Yammy berkata, ia tidak menjejaskan apa-apa kerana yang bertanding adalah Dyana, bukannya mak Dyana.
"Jika saya dikatakan menjejaskan peluang Dyana itu terpulang kepada mereka. Seseorang yang berfikiran terbuka dan pandai sudah tentu boleh menilai," katanya.
iwan@thestar.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan