Diterbitkan: Selasa, 27 Mei 2014 6:20 PM
"Kesemua 15 penanggung insurans yang telah memberi perlindungan insurans kepada penumpang dan anak kapal MH370 telah bersetuju untuk mempermudahkan proses dokumentasi dan tuntutan, dan tuntutan akan dibayar dengan cepat," kata Pengerusi PIAM, Chua Seck Guan, dalam satu kenyataan, Selasa.
"Industri ini komited menyediakan bantuan yang perlu kepada semua pihak yang terlibat dalam kejadian MH370. Kami ingin menegaskan bahawa syarikat anggota kami berada pada kedudukan yang baik untuk memberikan perkhidmatan dan membayar tuntutan itu dengan segera untuk membantu pihak-pihak yang terlibat menghadapi tempoh-tempoh yang sukar ini," kata Chua.
Penerbangan MH370, berserta 239 orang penumpang dan anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 pagi 8 Mac dan hilang dari skrin radar kira-kira sejam kemudian ketika berada di ruang udara Laut China Selatan.
Ia sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.
Kenyataan itu menyebut bahawa industri insurans am Malaysia akan juga memberikan keutamaan khas untuk mempercepat pembayaran tuntutan itu dan membolehkan keluarga pihak yang diinsuranskan menerima bayaran tuntutan mereka dengan segera.
Berdasarkan satu tinjauan yang dikendalikan oleh PIAM, sebilangan penanggung insurans menyelesaikan tuntutan demikian dalam masa dua hari bekerja selepas menerima dokumen-dokumen tuntutan yang diperlukan.
Menurut Chua, Persatuan itu juga menerima beberapa panggilan daripada keluarga yang terlibat dan PIAM telah mencuba sedaya upaya untuk memberi maklumat dan membantu dengan cara yang terbaik untuk membantu keluarga-keluarga ini mengharungi tempoh sukar ini dengan lebih mudah.
Untuk mengemukakan tuntutan, anggota keluarga yang terlibat hanya perlu menyerahkan borang tuntutan yang telah siap diisi dan dokumen-dokumen berkaitan lain.
PIAM ialah persatuan sekerja nasional semua syarikat insurans langsung dan insurans semula berlesen bagi insurans am di Malaysia dan kini mempunyai 29 syarikat anggota.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan