Ketik sini akan bantu Blog ini

Seyogia

☼ ◙ ☼ ◙ ☼ ◙ Resah lebih kepada situs yang menemukan nilai diri Penyair iDANRADZi... ianya sekadar isu sisi bagi memeriah situs utama yang telah lama berkembang... terselit pelbagai makna yang nyata & tersembunyi. ☼ ◙ ☼ ◙ ☼ ◙... Resah lebih kepada situs yang menemukan nilai diri Penyair iDANRADZi

Ahad, 24 Februari 2013

Apa yang tak kita dapat dari Bollywood

BREATHLESS in Bombay menjungkirbalikkan apa yang difantasikan oleh Shahrukh, Amir dan Salman Khan atau Aishwarya Rai, Kajol dan Priyanka Chopra dalam kepingan-kepingan filem Bollywood mereka.

Di tangan Murzban F Shroff, penanya menyelongkar 14 cerpen yang menyusup ke dunia real Bombay bersama-sama kibaran pakaian di puncak dhobi ghat (bukit kecil) yang berhimpunnya kasta pengusaha dobi secara tradisional dan picitan pengurut maalishwalla di tepi pantai yang kedua-dua kelompok itu berkongsi gelisah - angin pembangunan merempuh dunia mereka.

The House of Mine pula seolah-olah mewakili kelompok manusia kelas bawahan dan menengah yang terhimpun dalam bangunan yang mereka diami di kawasan slum di Bombay. Pada satu hari, mereka menerima notis pindah daripada lembaga perumahan atas alasan kononnya bangunan itu sangat berbahaya didiami dan kemudian dengan keajaiban kuasa wang, kondisi itu berubah kepada masih boleh didiami tetapi dengan pembaikpulihan dilakukan. Malangnya, ia juga tidak mengembalikan kehidupan mereka seperti sebelumnya, tetapi terpaksa menggigit kegelisahan yang baru pula.

Justeru, tidak hairanlah semua watak dalam karya Murzban terhimpit di tengah-tengah cengkaman tradisi dan himpitan kemodenan: selalu watak manusia bawahan adalah ibarat terkial-kial keluar dari mulut buaya, tetapi untuk terperosok ke dalam mulut harimau. Malah, pada suatu ketika, bahagian kaki mereka dikerkah buaya dan kepala mereka ditelan harimau!

Malangnya tidak seperti jalur cerita Bollywood dengan keadilan puitiknya, hero tidak muncul dari kawasan gelandangan, manakala kejahatan tidak pernah dibawa ke pentas keadilan.

Membaca Breathless in Bombay, mendorong kita bertanya kepada diri kita tentang ranah sastera kita. Apakah kemiskinan bandar kita tidak melahirkan pengarang yang cuba mewakili suara tertindas itu atau memangnya kita tidak punya penulis yang dapat mewakili perpektif manusia pinggiran dalam arus urbanisasi dan modenisasi itu?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan