Ketik sini akan bantu Blog ini

Seyogia

☼ ◙ ☼ ◙ ☼ ◙ Resah lebih kepada situs yang menemukan nilai diri Penyair iDANRADZi... ianya sekadar isu sisi bagi memeriah situs utama yang telah lama berkembang... terselit pelbagai makna yang nyata & tersembunyi. ☼ ◙ ☼ ◙ ☼ ◙... Resah lebih kepada situs yang menemukan nilai diri Penyair iDANRADZi

Rabu, 28 Mei 2014

'Mahu sokong Chong Wei atau Misbun?'

Pensyarah kontroversi Ridhuan Tee Abdullah melancarkan satu lagi serangan ke atas golongan Cina Malaysia, kali ini dengan menimbulkan kecurigaan ke atas patriotisme masyarakat itu.

Beliau cuba melandaskan dakwaan itu dengan membangkitkan mengenai sokongan oleh golongan tersebut ke atas pemain badminton tertentu.

"(Pemain negara, Datuk Lee) Chong Wei lawan (pemain China) Lin Dan adalah contoh naif untuk menzahirkan rasa cinta kepada Malaysia.

"Kedua-dua adalah Cina. Tentu kita menyokong Cina Malaysia daripada Cina China.

"Katakan, Chong Wei lawan (bekas pemain negara, Datuk) Misbun (Sidek) atau Lin Dan lawan (pemain Indonesia) Taufik Hidayat, ketika itu siapakah yang akan disokong?

"Justeru tidak perlulah berpura-pura mahu menunjukkan cintakan Malaysia tetapi mengundi ultra kiasu," katanya.

Mualaf itu berkata demikian bagi menjawab satu tulisan dalam satu akhbar berbahasa Inggeris yang menurutnya menuduh beliau mengalami krisis identiti kerana sering mempertahankan golongan Melayu.

Ridhuan menjelaskan, pendiriannya sebelum ini dibuat kerana mempertahankan Islam.

"Sama ada setuju atau tidak, Islam sedang diancam, menjadi tanggungjawab kita untuk membelanya.

"Saya pernah jadi bukan Islam, saya tahu perancangan busuk segelintir mereka, walaupun mungkin sahabat seislam saya tidak bersetuju," katanya.

Piala Thomas: Semangat juang tiada kesudahan

Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada skuad badminton negara kerana telah mempamerkan semangat juang yang begitu tinggi semasa menentang pasukan Jepun malam tadi.

Sekalipun terpaksa berputih mata untuk menamatkan kemarau 22 tahun tanpa Piala Thomas, namun semangat tidak mudah kalah ini sememangnya harus dipuji.

Skuad yang dibarisi pemain seperti Datuk Lee Chong Wei, Hoo Thien How, Tan Wee Kiong, Chong Wei Feng, Daren Liew, Lim Khim Wah dan Goh V Shem sewajarnya mendapat penghormatan yang tinggi.

Mereka bukan sahaja bermain dengan bersungguh-sungguh malah mampu menewaskan beberapa negara yang menjadi pencabar utama Malaysia iaitu Denmark dan Indonesia.

Namun, itulah adat permainan. Ada yang menang dan ada juga yang kalah. Apa sahaja boleh terjadi tanpa diduga.

Siapa sangka pasukan Jepun yang turun sebagai pasukan 'underdog' boleh menjulang Piala Thomas.
Sebagai rakyat Malaysia, tentulah amat perit untuk menerima kekalahan ini. Bertambah perit lagi apabila terpaksa menunggu 24 tahun pula untuk berpeluang memenangi Piala Thomas ini.

Kemunculan pasukan Jepun ini juga sekaligus memecah dominasi yang diungguli oleh Malaysia, Indonesia dan China.

Namun, apa yang boleh diperhati dalam kejuaraan yang berprestij ini ialah pasukan perseorangan negara masih lagi bergantung kepada kemampuan Datuk Lee Chong Wei.

Pemain perseorangan negara yang lain seperti Daren Liew dan Chong Wei Feng seakan gugup dalam mengharungi perlawanan akhir malam tadi.

Kemenangan mudah yang dikecapi oleh Datuk Lee Chong Wei seakan tidak mampu diulangi mereka sedangkan usia Datuk Lee Chong Wei adalah 31 tahun berbanding mereka yang berumur 26 tahun.

Bahkan, Datuk Lee Chong Wei pernah berkata bahawa inilah pertandingan Piala Thomas yang terakhir bagi dirinya.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) harus menggembleng tenaga baru dalam tempoh 2 tahun ini.

Nama-nama baru seperti Zulfadli Zulkifli dan Misbun Ramdan perlu diketengahkan dan diberi peluang pengalaman bersama pasukan senior kebangsaan.

Pujian juga harus diberikan kepada skuad beregu kebangsaan. Persembahan Hoon Thien How/Tan Wee Kiong dan Lim Khim Wah/Goh V Shem nyata tidak mengecewakan.

Apa yang menarik, gandingan Hoon Thien How/Tan Wee Kiong adalah gandingan yang diwujudkan semata-mata untuk kejohanan ini dan ternyata membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Lihat sahaja skuad Jepun yang dibarisi pemain seperti Kenichi Tago dan Takuma Ueda. Rata-rata mereka berumur 25 tahun dan ke bawah. Tidak ketinggalan Kento Momota yang berumur 20 tahun!

Justeru, tempoh dua tahun ini harus digunakan sebaik mungkin dalam memastikan skuad pelapis ini mampu memberikan persembahan yang terbaik dalam merampas kembali Piala Thomas.

Ini kerana untuk tempoh dua tahun lagi, skuad Jepun masih lagi dikategorikan sebagai masih muda lagi berbanding skuad kebangsaan terkini yang akan menjangkau usia hampir 30 tahun.

Ini sudah pastilah akan memberikan jurang besar dari sudut stamina dan ketahanan.

Cukuplah penantian selama 24 tahun buat rakyat Malaysia. Piala Thomas harus dijulang kembali. Tiada yang mustahil dalam misi ini.

Saya berkeyakinan penuh sekiranya skuad Malaysia mengekalkan momentum seperti kejohanan tahun ini, Piala Thomas pasti menjadi milik rakyat Malaysia sekali lagi. Ayuh Malaysia, bangkitlah!

Dr Asri: Melampau samak mulut, tukar darah

Bekas mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menasihatkan masyarakat tidak menunjukkan reaksi berlebihan menghadapi penemuan DNA babi dalam dua coklat produk Cadbury seperti mahu menyamak mulut atau menukar darah.

Katanya, pengguna berhak menyatakan bantahan kepada Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd kerana memperdayakan rakyat Malaysia.

“Namun, berlebihan dalam (mengeluarkan) hukum seperti menyuruh samak mulut, tukar darah dan lain-lain merupakan unsur ghuluw ataupun melampau dalam beragama.

“Islam itu tidak merepek dan menyusahkan seperti demikian rupa. Sesiapa yang termakan yang haram tanpa sengaja tidak dikira dosa dan seseorang tidak akan dihukum Allah atas perkara luar dari maklumat dan kemampuannya,” katanya.

Menulis dalam Facebook, Dr Asri berkata, masyarakat juga harus mengambil kira pelbagai lagi perkara haram dan bukannya hanya dalam isu itu sahaja.

“Inilah fahaman Islam yang hanya terasa haram babi, tapi tidak terasa haram judi, riba dan rasuah sedangkan dosa dan mudarat semua itu lebih besar dari babi,” katanya.

Produk itu disahkan mengandungi DNA babi Sabtu lalu. Ia sebelum itu turut menjadi bualan di laman sosial dan menimbulkan pelbagai reaksi banyak pihak terutama NGO Islam.

Gabungan Pertubuhan Islam bukan kerajaan (ACCIN) antaranya mahu Cadbury membayar kos membersih darah kepada semua umat Islam yang telah termakan bahan haram berkenaan.

Mereka juga merancang mengemukakan saman berbilion-bilion ringgit ke atas syarikat antarabangsa itu.

Selasa, 27 Mei 2014

Saya Rela Dipecat Demi Dyana Sofya - Ibu‬

Diterbitkan: Selasa, 27 Mei 2014 2:00 AM

TELUK INTAN: Ibu kepada calon DAP Pilihan Raya Kecil (PRK), Yammy Samat rela dipecat dari Umno dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) untuk terus menyokong anaknya, Dyana Sofya Mohd Daud.‬

‪Yammy pada malam Isnin membuat pengakuan bahawa beliau masih ahli Umno dan Perkasa.

‪"Saya ahli Umno dan saya juga ahli Perkasa, jadi apa masalahnya? Ahli Perkasa itu adalah saya dan bukannya Dyana.

‪"Terpulang kepada mereka sekiranya mahu mengenakan tindakan atau apa sahaja terhadap saya.‬

‪"Jika mereka (Umno dan Perkasa) tidak mahu saya, mereka boleh pecat saya. Saya masih menyokong Dyana kerana dia anak saya," katanya kepada pemberita pada ceramah anjuran DAP di Taman Industri Anson dekat sini, malam Isnin.‬

Yammy Samat


‪Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Dyana yang mengaku ibunya pernah terlibat dalam penubuhan Perkasa.‬

‪Dyana turut  mengaku pernah membantu ibunya mengendalikan sesi pendaftaran keanggotaan Perkasa pada 2008.‬

‪Ditanya sama ada beliau ada menerima surat tunjuk sebab, Yammy berkata: "Tidak ada setakat ini.‬"

‪Selain itu, Yammy berkata, tiada sebab untuk beliau mempelawa Dyana menyertai Perkasa kerana anaknya sememangnya tidak mahu menjadi ahli pertubuhan itu.‬

‪"Dia (Dyana) tak suka (untuk sertai Perkasa) dan dia bukan ahli Perkasa, " katanya.‬

‪Mengenai peluang Dyana pada PRK itu, Yammy yakin peluang anaknya menang kini mencecah 80 peratus.‬

‪"Saya rasa berdasarkan sambutan orang ramai. Setiap tempat yang dia pergi, orang terima dia.

‪"Tetapi menang atau kalah itu Tuhan punya kuasa," katanya sambil menambah bahawa Dyana juga boleh menarik undi Melayu.‬

‪Ditanya sama ada kedudukannya sebagai ahli Umno dan Perkasa akan mempengaruhi undi Dyana, Yammy berkata, ia tidak menjejaskan apa-apa kerana yang bertanding adalah Dyana,  bukannya mak Dyana.‬

‪"Jika saya dikatakan menjejaskan peluang Dyana itu terpulang kepada mereka. Seseorang yang berfikiran terbuka dan pandai sudah tentu boleh menilai," katanya.‬

iwan@thestar.com.my

Dyana Sofya Mohd Daud Jelaskan Siapakah Wanita Berbikini Yang Dikatakan Dia

Diterbitkan: Jumaat, 16 Mei 2014 6:57 PM

Wajah sebenar Dyana Sofya (kiri) dan gambar Pauleen Luna (berbikini) yang diambil dari laman sosial, Facebook aktres itu.

PETALING JAYA: Dyana Sofya Mohd Daud, setiausaha politik kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan percubaan untuk mencemarkan imejnya dengan penyebaran gambar palsu dia berbikini adalah satu perbuatan politik yang garuk terutamanya ke atas seorang wanita sepertinya.

Dyana yang disebut-sebut bakal diumumkan sebagai calon DAP pada Sabtu untuk pilihan raya kecil Teluk Intan berasa kesal bagaimana orang boleh merendahkan diri mereka sehingga sebegitu sekali dengan menyebarkan fitnah tanpa usul periksa.

Berkata demikian melalui satu kenyataan media pada Jumaat, Dyana, 27, menegaskan foto berbikini yang disebar itu adalah foto aktres Filipina, Pauleen Luna.

“Sementara saya berpendapat yang aktres berkenaan adalah seorang yang sangat menarik, tetapi menggunakannya untuk menyebarkan fitnah yang kononnya gambar itu adalah saya benar-benar memperlihat betapa garuknya politik sesetengah orang khususnya ke atas wanita,” ujar ahli politik lulusan undang-undang dari Universiti Teknologi Mara itu.

Kata Dyana, sejak berita palsu itu disebarkan menerusi internet dia telah menerima beratus mesej yang mencaci dan menghinanya selepas nombor telefonnya diketahui ramai.

Tetapi disebalik kempen yang disebarkan itu dengan niat untuk memburuk-burukkannya, Dyana berkata yang dia berasa bersemangat dengan sokongan yang diterima daripada mereka yang percaya kepada perjuangannya.

“Di sebalik mereka yang menghina, ramai juga yang menelefon dan memberi kata-kata semangat dan menyatakan kepercayaan kepada saya. Hakikatnya orang seperti mereka lah yang membuatkan saya percaya dan yakin dengan apa yang saya perjuangkan.

“Dan sebaliknya mereka yang menyerang saya juga telah memberikan saya sebab yang kuat untuk meneruskan apa yang telah saya lakukan ini,” katanya lagi.

PRK Teluk Intan: 95.61 Peratus Keluar Mengundi Awal - SPR

Diterbitkan: Selasa, 27 Mei 2014 11:45 AM

TELUK INTAN: Sebanyak 95.61 peratus pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan membuang undi di pusat pengundian awal Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini sehingga  pukul  5 petang. 
 
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, jumlah itu meliputi 392 daripada 410 anggota polis yang juga pengundi awal pada PRK itu.

Terdahulu, angka kehadiran pengundi awal mencapai 93.17 peratus setakat pukul 4 petang tadi membabitkan 382 pengundi awal.

Ketua Balai Polis Ulu Bernam, Sarjan Mejar Samsudin Mat Yusof, 54, merupakan pengundi awal pertama membuang undi sebaik sahaja pengundian dibuka pada pukul 8 pagi.

Turut kelihatan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang yang mengundi pada kira-kira pukul 10 pagi.

Calon DAP,
Dyana Sofya Mohd Daud turut hadir untuk melawat pusat pengundian awal pada pukul 9.30 pagi diikuti Datuk Mah Siew Keong dari Barisan Nasional (BN) 10 minit selepas itu.

Selain itu, Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dan Pegawai Pengurus SPR PRK Teluk Intan, Datuk Ibrahim Ahmad juga berada di pusat mengundi pada pagi Selasa.

Pusat pengundian mula dibuka seawal pukul 8 pagi dan ditutup pada pukul 5 petang nanti.

PRK Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antar Siew Keong dan Dyana Sofya.
Kekosongan kerusi Parlimen Teluk Intan berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng akibat kanser pada 1 Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 Mei tahun lalu, Leong Peng mengalahkan Siew Keong dan calon bebas, K. Moralingam dengan majoriti 7,313 undi.

Hari mengundi PRK Teluk Intan pada 31 Mei ini.

MH370: Tuntutan Insurans Diterima Tanpa Sijil Kematian


Diterbitkan: Selasa, 27 Mei 2014 6:20 PM


Chua Seck Guan


KUALA LUMPUR: Anggota Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) telah bersetuju bahawa sijil kematian tidak akan menjadi syarat semasa mengemukakan tuntutan berhubung penumpang dan anak kapal dalam penerbangan MH370, disebabkan oleh sifat kejadian itu.

"Kesemua 15 penanggung insurans yang telah memberi perlindungan insurans kepada penumpang dan anak kapal MH370 telah bersetuju untuk mempermudahkan proses dokumentasi dan tuntutan, dan tuntutan akan dibayar dengan cepat," kata Pengerusi PIAM, Chua Seck Guan, dalam satu kenyataan, Selasa.

"Industri ini komited menyediakan bantuan yang perlu kepada semua pihak yang terlibat dalam kejadian MH370. Kami ingin menegaskan bahawa syarikat anggota kami berada pada kedudukan yang baik untuk memberikan perkhidmatan dan membayar tuntutan itu dengan segera untuk membantu pihak-pihak yang terlibat menghadapi tempoh-tempoh yang sukar ini," kata Chua.

Penerbangan MH370, berserta 239 orang penumpang dan anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 pagi 8 Mac dan hilang dari skrin radar kira-kira sejam kemudian ketika berada di ruang udara Laut China Selatan.

Ia sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Kenyataan itu menyebut bahawa industri insurans am Malaysia akan juga memberikan keutamaan khas untuk mempercepat pembayaran tuntutan itu dan membolehkan keluarga pihak yang diinsuranskan menerima bayaran tuntutan mereka dengan segera.

Berdasarkan satu tinjauan yang dikendalikan oleh PIAM, sebilangan penanggung insurans menyelesaikan tuntutan demikian dalam masa dua hari bekerja selepas menerima dokumen-dokumen tuntutan yang diperlukan.

Menurut Chua, Persatuan itu juga menerima beberapa panggilan daripada keluarga yang terlibat dan PIAM telah mencuba sedaya upaya untuk memberi maklumat dan membantu dengan cara yang terbaik untuk membantu keluarga-keluarga ini mengharungi tempoh sukar ini dengan lebih mudah.

Untuk mengemukakan tuntutan, anggota keluarga yang terlibat hanya perlu menyerahkan borang tuntutan yang telah siap diisi dan dokumen-dokumen berkaitan lain.

PIAM ialah persatuan sekerja nasional semua syarikat insurans langsung dan insurans semula berlesen bagi insurans am di Malaysia dan kini mempunyai 29 syarikat anggota.