17 Julai 2013
PUTRAJAYA - Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam
Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berpendapat masih ada
harapan untuk lebih 1.4 juta penjawat awam menerima bonus menjelang
Aidilfitri.
Ini berikutan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari
ini yang memaklumkan kerajaan akan mengkaji kemungkinan memberi bonus
kepada penjawat awam menjelang Aidilfitri, kata Omar.
Perdana Menteri berkata kerajaan akan mengkaji kemungkinan itu dan masih mempunyai masa untuk memutuskan perkara itu.
"Cuepacs mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi
mempertimbangkan permohonan Cuepacs untuk 1.4 juta penjawat awam.
"Cuepacs yakin Perdana Menteri akan mempertimbangkan perkara ini. Saya
rasa ada harapan," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa di Puspanitapuri di sini
malam ini.
Cuepacs sebelum ini masih berharap kerajaan akan memberi bonus setengah
bulan gaji kepada penjawat awam walaupun mereka akan menerima kenaikan
gaji tahunan pada bulan ini.
Terdahulu hampir 1,000 tetamu hadir pada majlis berbuka puasa Ketua Setiausaha Negara.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid
Omar, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa
Mohamed, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, pegawai-pegawai
tinggi kerajaan, wakil kedutaan asing dan tokoh-tokoh korporat.
Pada majlis itu Dr Ali yang juga Penasihat Puspanita dan isteri Puan
Sri Rohani Abdullah turut menyampaikan sumbangan kepada empat rumah anak
yatim masing-masing sebanyak RM10,000 dengan 100 anak yatim turut
menerima sumbangan.
Dr Ali dan para tetamu kemudiannya menunaikan solat Isyak dan tarawih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan