18 Julai 2013
Mereka (golongan majikan atau wakil syarikat) datang untuk memperbaharui permit pekerja. Tinjauan Sinar Harian pada jam 8 pagi ke tingkat 8, Bahagian Pekerja Asing itu semalam, mendapati lebih 50 majikan sudah mula beratur dan terpaksa membentuk beberapa pusingan sehingga ke luar pejabat.
Seorang kerani sebuah kilang elektronik yang ingin dikenali sebagai Siti Hajar, 32, mengakui terpaksa bertolak jam 5.30 pagi dari rumah di Senai bagi mendapatkan nombor giliran.
“Kami terpaksa datang awal untuk dapatkan nombor giliran kerana jika lambat nombor giliran habis dan terpaksa datang semula.
“Kadang-kadang ada majikan gagal mendapatkan nombor giliran walaupun sudah berbaris panjang lebih satu jam,” katanya ketika ditemui di kompleks itu, semalam.
Lebih merumitkan, pelanggan yang ada dua urusan berlainan di jabatan sama terpaksa mengambil nombor giliran berasingan dan berbaris semula.
“Sekarang saya terpaksa beratur mendapatkan nombor giliran di tingkat bawah bagi urusan permohonan Visa Dengan Rujukan (VDR).
“Kemudian saya naik pula ke tingkat 8 untuk dapat nombor bagi urusan perbaharui permit pekerja, semua ini memakan masa lebih dua jam hanya untuk dapat nombor,” katanya.
Sementara seorang pengusaha industri kecil sederhana, Nizam, 46, berkata, sistem pengurusan dan prosedur permohonan di jabatan itu kerap ditukar menyebabkan ramai pengguna keliru dan sering terlepas giliran.
“Sebelum ini pelanggan yang ingin melakukan lebih dari satu urusan boleh mendapatkan nombor giliran di kaunter sama, tak perlu berbaris semula.
“Tetapi sejak minggu ini, pemohon diarahkan mendapatkan nombor giliran di kaunter berasingan.
“Sistem pengurusan yang digunapakai agensi ini kerap kali ditukar sehingga ada yang terpaksa datang semula pada hari lain akibat terlepas giliran,” katanya.
Dia sendiri terpaksa habiskan masa sehingga satu hari bagi menyelesaikan urusan memperbaharui permit pekerjanya sedangkan prosedur menyiapkan sebuah pasport atau permit hanya lima minit.
“Setelah beberapa kali lakukan urusan di sini, saya dapati hanya tiga daripada enam kaunter beroperasi manakala selebihnya kosong atas alasan kakitangan berkursus dan cuti.
“Keadaan ini menyebabkan proses menyelesaikan urusan di jabatan ini mengambil masa sangat lama dari pagi hingga ke petang,” katanya.
Nizam menyarankan sistem pentadbiran lebih sistematik dilaksanakan bagi memudahkan pengguna.
“Jika di Putrajaya, majikan hanya perlu hantar permohonan berserta dokumen lengkap dan ambil semula permit pekerja keesokan harinya tanpa perlu berbaris atau menunggu.
“Di sini perlu laksanakan inisiatif sama atau memikirkan sistem pengurusan lebih berkesan untuk mudahkan pelanggan,” katanya.
Sangkal dakwaan
PENGARAH Jabatan Imigresen Johor, Mohd Nasri Ishak menolak dakwaan hanya beberapa kaunter perkhidmatan dibuka pada satu-satu masa sebaliknya setiap kaunter dibuka sepanjang waktu bekerja.
Katanya, setiap pelanggan dilayan berdasarkan piagam jabatan dan nombor giliran diagihkan secara berperingkat bagi memastikan permohonan pelanggan yang mendapat giliran berjaya diproses sebelum waktu pejabat berakhir.
“Kalau pelanggan mahu dapatkan giliran memang kena datang awal dan ia bergantung kepada nasib.
“Jika kita bagi nombor pada semua pelanggan tetapi giliran mereka tiba pada waktu petang atau tidak sempat diproses pasti timbul masalah lain pula,” katanya.
Mohd Nasri turut mengakui bilangan pelanggan yang datang di jabatan itu semakin meningkat sejak kebelakangan.
“Mungkin berlaku kebanjiran pelanggan di sini. Kita juga tak dapat buka kaunter tambahan kerana masalah ruang. Sebelum ini perkhidmatan kami berjalan lancar,” katanya.