PENDUDUK dan tentera pemisah meninjau
bangkai pesawat berdekatan perkampungan Grabovo, Ukraine, hari ini.
Terdahulu, Malaysian Airlines (MAS) mengesahkan ia telah menerima
pemberitahuan daripada ATC Ukraine bahawa ia telah terputus hubungan
dengan Penerbangan MH17 yang membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal
pada 1415 (GMT) di kedudukan 30km dari Tamak, kira-kira 50km dari
sempadan Rusia-Ukraine. - Foto AP
ANGGOTA pemisah pro-Russia berdiri di
tapak nahas dipercayai pesawat MAS MH17 yang terhempas di Ukraine dekat
sempadan Russia malam ini. - Foto Reuters
PASUKAN keselamatan berada di tempat yang
dipercayai pesawat MAS MH17 yang terhempas di Ukraine dekat sempadan
Russia malam ini. - Foto Reuters
FOTO menunjukkan keadaan di lokasi pesawat Boeing MAS MH17 yang dipercayai terhempas di Ukraine. - Foto Reuters
Moscow: Sebuah pesawat Malaysia dengan 295 penumpang dilaporkan terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Russia, hari ini.
Menurut agensi media Russia Interfax, sumber industri penerbangan
berkata, pesawat Boeing itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala
Lumpur.
Interfax juga melaporkan pesawat itu dipercayai ditembak jatuh pada
ketinggian 10,000 meter. Menurut seorang pegawai Kementerian Dalam
Negeri Ukraine, pesawat itu dipercayai ditembak jatuh dengan peluru
berpandu Buk.
Penasihat kepada Menteri Dalam Negeri Ukraine, Anton Gerashenko, berkata
di laman Facebooknya, pesawat itu terbang pada ketinggian 10,000 meter
apabila ia ditembak dengan peluru berpandu daripada pelancar roket Buk.
Pelancar serupa dilihat oleh wartawan Associated Press berhampiran bandar Snizhne di timur Ukraine, awal Khamis.
Sementara itu, Malaysia Airlines mengesahkan telah terputus hubungan
dengan penerbangan MH17 dari Amsterdam dan lokasi terakhir pesawat itu
adalah di ruang udara Ukraine. - Agensi
myMetro 17 Jul 2014
MAS sahkan terputus hubungan dengan pesawat penerbangan MH17
KUALA LUMPUR: Penerbangan Malaysia (MAS) mengesahkan syarikat itu
menerima pemberitahuan daripada ATC Ukraine bahawa ia terputus hubungan
dengan Penerbangan MH17 pada 1415 (GMT) 30 kilometer dari Tamak,
kira-kira 50 kilometer dari sempadan Rusia-Ukraine.
Dalam kenyataan, syarikat penerbangan negara itu berkata Penerbangan
MH17 berlepas dari Amsterdam pada Khamis, 12.15 tengah hari (waktu
Amsterdam) dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) pada hari berikutnya.
Pesawat itu membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal, katanya.Butiran lanjut akan menyusul, katanya.
18 Jul 2014
Pesawat MAS disangkakan pengangkut tentera Ukraine
Kiev : Media sosial komander pemberontak Ukraine mendakwa pihaknya telah
menembak jatuh sebuah pesawat pengangkut tentera tidak jauh dari lokasi
pesawat Malaysia Airlines yang terhempas dekat sempadan Russia.
Komen daripada komander tertinggi "Republik Rakyat Donetsk" itu mengaku
puak pemisah telah menembak jatuh pesawat MH17 yang disangkakan sebuah
pesawat pengangkut Ukraine yang besar.
"Kami baru menjatuhkan sebuah (pesawat) An-26 dekat Torez. Ia jatuh
dekat lombong di Progress (Ukraine)," kata laman VK milik Igor Strelkov,
yang sering dipetik oleh media Ukraine, menurut kenyataannya.
Puak pemberotak itu pernah menembak jatuh sebuah pesawat An-26 di
kawasan timur Ukraine yang dikuasai mereka pada 14 Jun lalu membunuh 49
kakitangan kerajaan.
"Kami telah memberi amaran (pada tentera Ukraine) jangan terbang di 'langit kami'," kata Strelkov dalam satu pos.
"Dan ini video yang mengesahkan 'burung itu jatuh'," katanya dalam satu pos lain. - AFP
18 Jul 2014
Tentera Ukraine tidak terbabit tembak jatuh pesawat Malaysia - Presiden Ukraine
KIEV: Angkatan Tentera Ukraine tidak terbabit dalam insiden pesawat
Malaysia yang dipercayai terhempas di timur Ukraine, kata bahagian media
Presiden Ukraine.
Agensi berita negara itu, Inferfax memetik Presiden Petro Poroshenko
bahawa beliau tidak menyatakan pesawat berkenaan ditembak jatuh.
"Ini adalah insiden ketiga dalam tempoh beberapa hari selepas kejadian pesawat An-26 dan SU-25 ditembak jatuh.
"Kami tidak merasakan pesawat ini juga ditembak jatuh dan kami ingin
tekankan bahawa Ukraine tidak menjalankan sebarang tindakan untuk
menghapuskan sasaran di udara," katanya. - Reuters
18 Jul 2014
Nahas MH17: Urutan masa nahas
KUALA LUMPUR: Berikut ialah urutan masa pesawat Malaysia Airlines (MAS)
Penerbangan MH17 yang dilaporkan terhempas di sebuah kawasan tegang di
Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada Khamis.
Pesawat Boeing 777 yang membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal itu adalah dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Penerbangan itu dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang pada 6.10 pagi Jumaat.
Laporan media asing mendakwa pesawat itu telah "ditembak" namun kerajaan
Rusia dan Ukraine masing-masing menafikan pembabitan mereka dalam
insiden itu.
17 Julai (Khamis)
* 12.15 Tengah Hari - (waktu tempatan Amsterdam) MH17 berlepas dari Lapangan Terbang Amsterdam.
* 10.15 MALAM - (waktu Malaysia) MAS mengesahkan ia telah menerima
pemberitahuan daripada ATC Ukraine bahawa ia telah terputus hubungan
dengan Penerbangan MH17 pada 1415 (GMT) di kedudukan 30km dari Tamak,
kira-kira 50km dari sempadan Rusia-Ukraine.
18 Julai (Jumaat)
* 12.00 TENGAH MALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menulis
tweet: “Saya terkejut dengan laporan bahawa sebuah pesawat MH terhempas.
Kami akan melakukan siasatan serta merta."
- Perdana Menteri Ukraine Arseniy Yatsenyuk mengarahkan siasatan dilakukan terhadap nahas itu.
* 2.07 PAGI - Laporan Reuters memetik Menteri Kecemasan Rusia Vladimir
Puchkov sebagai berkata Rusia telah meminta kebenaran Kiev pada Khamis
untuk membantu kerja-kerja menyelamat di selatan Ukraine selepas sebuah
pesawat penumpang Malaysia terhempas di kawasan itu.
* 2.30 PAGI - Laporan Reuters memetik Presiden Amerika Syarikat Barack
Obama sebagai berkata di Wilmington, Delaware pada Khamis bahawa nahas
pesawat Malaysia di sempadan Ukraine adalah satu "tragedi dasyat" dan
Amerika Syarikat mahu menawarkan bantuan sewajarnya untuk membantu
mengenal pasti apa yang berlaku dan mengapa ia berlaku.
Berita Harian 18 Jul 2014
MH17 terbang di ruang udara tanpa sekatan - IATA
SINGAPURA: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berkata
pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 yang dilaporkan terhempas di
Ukraine, dipercayai terbang di ruang udara tanpa sekatan.
Dalam kenyataan dari Geneva, persatuan syarikat penerbangan itu
menyatakan: "Berdasarkan maklumat semasa yang diperoleh, adalah
dipercayai ruang udara yang direntasi pesawat itu tidak tertakluk kepada
sekatan."
"Kami mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan penumpang serta anak kapal MH17," kata IATA.
Media asing melaporkan sebuah pesawat penumpang Malaysia Boeing 777 yang
membawa 295 orang terhempas di Ukraine berdekatan sempadan Russia.
Penerbangan MH17 berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu
tempatan Amsterdam) dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang
Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang pada 6.10 pagi (waktu tempatan
Malaysia) pada hari berikutnya. - BERNAMA
18 Jul 2014
Anak kapal MH17 sempat WhatsApp kepada ibu bapa
Georgetown: Seorang anak kapal MH17, Nur Shazana Mohamed Salleh, 31,
sempat menghantarkan kiriman media sosial whatsApp kepada ibu bapanya
ketika masih di Amstrerdam pada malam sebelum kejadian terbabit.
Bapa mangsa, Mohamed Salleh Samsudin, 54, berkata beliau menerima berita
berkenaan pada jam 11 malam tadi daripada pihak MAS iaitu waktu yang
sama ketika anaknya menghantar WhatsApp pada pada malam sebelum
kejadian.
Beliau berkata, dia dan keluarga agak terperanjat dengan berita
berkenaan anak sulungnya Nur Shazana dan masih menunggu berita
selanjutnya daripada pihak MAS.
"Pada malam semalam dia ada menghubungi saya meminta saya menghantar
gambar anak buahnya dan menyatakan hasrat untuk kembali pada hari raya
pertama nanti.
"Dia ( Shazana) kata nak pergi kubur pada hari raya kedua untuk baca
yasin kepada ahli keluarga terdekat kami," katanya sambil menahan sebak.
Mohamed Salleh yang menetap di Bayan Baru, di sini, berkata, Shazana
menyimpan cita-cita dari kecil untuk menjadi pramugari dan komited
terhadap tugasnya.
Nur Shazana salah seorang daripada 15 anak kapal MH17 yang dipercayai ditembak jatuh di Ukraine.
Pesawat jenis Boieng 777 yang membawa seramai 280 penumpang itu dalam perjalanan dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur.
Berita Harian 18 Jul 2014
'Mahu baca Yassin di kubur'
SHAZANA dan keluarga. Gambar kecil, ibu Shazana, Sharom Ibrahim menunjukkan gambar anaknya.
Georgetown: "Nurshazana ada hubungi saya melalui kiriman Whatsapp dan
meminta foto anak saudaranya kerana rindu," kata Mohamed Salleh
Samsuddin, 54, bapa kepada seorang pramugari yang maut selapas pesawat
MH17 terhempas di Timur Ukraine.
Menurutnya, kiriman Whatsapp itu dihantar 24 jam sebelum pesawat dinaiki anaknya berlepas dari Amsterdam.
Mohamed Salleh berkata, anaknya turut meminta dia dan isteri menghantar
salinan foto kad pengenalan mereka namun tidak memberitahu apa yang mahu
dilakukannya.
"Anak juga memberitahu dia akan pulang pada hari raya pertama dan meminta kami menunggunya untuk menziarahi kubur sanak saudara.
"Dia juga turut memberitahu akan membaca Yassin di kubur dan berkeras
mahu kami sekeluarga menunggunya," katanya yang ditemui di rumahnya di
Bayan Baru di sini, sebantar tadi.
Menurutnya, anaknya itu anak sulung dari empat beradik dan bekerja sebagai pramugari sejak sembilan tahun lalu.
myMetro 18 Jul 2014
Kakak saya antara penumpang MH17 - Adik penumpang
Sepang: Seorang ahli keluarga penumpang MH17 mengesahkan kakaknya adalah
antara penumpang dalam pesawat itu yang terhempas di Ukraine.
Noraini Md Noor, 50, dari Petaling Jaya, berkata kakaknya, Norrahimah,
67, berada dalam pesawat dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu.
"Kakak saya sudah tinggal di Geneva selama 30 tahun dan beliau pulang ke
sini buat pertama kali selepas tempoh itu untuk menyambut Hari Raya
bersama kami," katanya dalam tangisan.
Noraini berkata, kakaknya mengambil cuti enam minggu untuk berada di
Malaysia dan beliau sepatutnya pulang bersama anaknya, namun anaknya
tidak dapat pulang di saat-saat akhir.
Sementara itu, ahli keluarga penumpang lain enggan ditemuramah dan meminta diberikan ruang kepada mereka.
Berita Harian 18 Jul 2014
'Jumpa awak esok'
Kuala Lumpur: "Kali terakhir suami menghubungi saya kira-kira 4.40
petang tadi (semalam) memberitahu dia sedang menaiki pesawat dari
Amsterdam ke KLIA.
"Dia sempat berpesan see you tomorrow (jumpa esok) kepada saya dan
dijangka tiba di KLIA pada jam 6.10," kata Mariam Yusof, isteri kepada
kapten pesawat MH17 Wan Amran Wan Hussin ketika dihubungi Harian Metro
sebentar tadi.
Menurutnya, dia terkejut apabila mendapat berita pesawat yang membawa 295 penumpang itu terhempas melalui berita di televisyen.
"Maaf saya masih terkejut," katanya enggan mengulas lanjut kerana masih bersedih dengan insiden berkenaan.
Wan Amran mula berkhidmat di MAS sejak 1999.
myMetro 18 Jul 2014
Mayat bergelimpangan di kawasan serpihan
Ukraine : Puluhan mayat bergelimpangan di sekitar kawasan serpihan pesawat MH17 terhempas di timur Ukraine, lapor Reuters.
Seorang pekerja menyelamat dan perkhidmatan kecemasan berkata
sekurang-kurangnya 100 mayat sudah ditemui setakat ini di tempat
kejadian, berhampiran Kampung Grabovo dan serpihan pesawat berkenaan
ditemui di kawasan sekitar 15 kilometer.
Serpihan sayap berwarna biru dan merah cat itu sama mewakili lambang
syarikat Penerbangan Malaysia di mana pesawatnya jenis Boeing 777 yang
dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
"Saya berada di atas traktor ketika terdengar bunyi pesawat dan letupan
kuat. Kemudian, saya nampak sebuah pesawat jatuh ke tanah dan pecah
kepada dua. Kawasan itu dipenuhi asap hitam yang tebal," kata seorang
saksi yang mahu dikenali sebagai Vladimir.
Seorang pemberontak pemisah berdekatan Krasnyi Luch, Sergei berkata, dia
nampak dari balkoni rumahnya melihat kapal terbang turun dari
ketinggian yang besar dan kemudian mendengar dua letupan.
Bagaimanapun, dia menafikan pemberontak menembak pesawat berkenaan.
"Ini boleh berlaku hanya jika ia adalah jet pejuang atau peluru berpandu permukaan-ke-udara (yang ditembak ke bawah)," katanya.
Menurutnya, tidak ada senjata yang mampu menembak menembak jatuh kapal terbang pada ketinggian itu. - Reuters
myMetro 18 Jul 2014
Hasrat jurutera perkapalan tidak kesampaian
Segamat : Seorang jurutera perkapalan yang juga turut menaiki pesawat
MH17 ada menyatakan hasrat untuk berhenti kerja pada ibunya, malam Rabu
lalu.
Hasni Hadi Parlan, 31, menyatakan hasrat itu pada ibunya Hasiah Rajikon,
57, ketika menghubungi keluarga di Kampung Batu Anam di sini, pada 8
malam Rabu lalu.
Menurut Hasiah, anak keduanya itu berkata, dia mahu menetap bersama
keluarga selamanya dan sudah mengambil keputusan untuk berhenti kerja.
Hasni bertugas dengan sebuah syarikat yang berpangkalan di Singapura
sejak tiga tahun lalu tetapi kerap ke Eropah atas urusan kerjanya.
myMetro 18 Jul 2014
'Adik tegas namun penyayang'
Kuala Lumpur: "Kami sekeluarga masih terkejut mendengar berita ini namun sebagai orang Islam kita kena serah pada takdir.
"Kalau dia pergi cara begini kami sekeluarga perlu terima dan reda,"
kata Don Shahidan Kassim, 46, abang kepada Dora Shahila ketua pramugari
pesawat MH17 yang terhempas di Timur Ukraine, malam tadi.
Menurut Don Shahidan, mereka sekeluarga pada mulanya tidak dapat
menerima kenyataan kerana tidak percaya dengan insiden pesawat
penerbangan awam ditembak.
"Saya dapat tahu kejadian ini pun daripada sepupu kira-kira jam 11 malam tadi.
"Pada mulanya memang sukar nak terima dan percaya kerana kita semua masih terkejut dengan kehilangan MH370," katanya.
Menurut anak sulung itu, kali terakhir dia bertemu dengan Dora Shahila
atau mesra dengan panggilan Ila itu pada sebelah pagi Isnin lalu yang
sempat memaklumkan akan berlepas ke Amsterdam.
"Saya tidak sangka pagi itu menjadi detik terakhir kami bertemu.
"Malah, paling terkilan saya pernah menegur Ila jangan celupar apabila
dia selamba berkata jangan-jangan pesawatnya pula akan ditembak ketika
kami bersembang mengenai MH370 ketika bercuti di Bali, Indonesia bulan
lalu," katanya.
Katanya, Dora Shahila yang juga ibu tunggal itu disifatkan paling tegas
ketika bekerja namun penyayang terutama dengan anak tunggalnya Nur Diana
Yazira Yezli berusia 13 tahun.
"Walaupun Ila tegas di tempat kerja saya tidak pernah mendengar sebarang
masalah daripada rakannya malah apabila bersama dengan anak buah dan
anaknya dia sangat mesra.
"Ila amat rapat dengan anak tunggalnya itu dan mereka sering berhubung walaupun dia sering bertugas ke luar negara.
"Bagaimanapun anak tunggalnya itu masih trauma tidak dapat menerima kenyataan ibunya terbabit dalam nahas ini," katanya.
myMetro 18 Jul 2014
Sempat bertemu sebelum Ramadan
Kota Bharu: "Dia hubungi kami memberitahu akan menyambut raya di sini mulai Jumaat depan bersama keluarganya.
"Tak sangka insiden ini yang berlaku. Dia seorang cucu yang baik dan
selalu mengambil berat hal kami," kata Daud Abdul Kadar, 80, datuk
kepada pembantu juruterang pesawat MH17 Ahmad Hakimi Hanapi, 29.
Daud yang ditemui di rumahnya di Kedai Melor, dekat sini memberitahu
kali terakhir Ahmad Hakimi menemui mereka sebelum Ramadan lalu dan dia
menghubunginya dan isteri Zaleha Bawal Khan, 70, tiga hari lalu.
Katanya, cucu kesayangannya itu rapat dengan mereka dan kerap pulang ke kampung apabila cuti.
"Dalam perbualan terakhir, selain memastikan kami berdua sihat, dia juga
bertanya mengenai proses pengubahsuaian rumah ini yang akan siap
sepenuhnya Aidilfitri nanti.
"Dia sendiri ada menyumbang duit untuk kami ubah suai rumah ini. Dia memang cucu yang baik," katanya sebak.
Daud memberitahu Zaleha kini dalam perjalanan ke Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk bersama ahli keluarga lain bagi
mengikut perkembangan insiden berkenaan.
Difahamkan Ahmad Hakimi berkhidmat dengan MAS selama empat tahun.
myMetro 18 Jul 2014
Kali terakhir berbuka di kampung
Kuala Kangsar : "Kami hanya mendapati tahu bapa saudara (Wan Amran Wan
Husin, 50) terbabit dalam tragedi pesawat MH17 di Ukraine malam tadi
menerusi Internet dan berita.
"Sebaik mengetahui bapa saudara bertugas dalam pesawat itu kami semua
menjerit, menangis dan berpelukan," kata Nur Suraya Dusuki, 29.
Menurutnya, sebaik sahaja mengetahui berita itu ibu saudara dan
adik-beradik yang lain bergegas ke Kuala Lumpur malam tadi untuk
mengetahui perkembangan kejadian dengan lebih lanjut.
"Kami tidak menyangka kejadian ini menimpa arwah ketika waktu bertugas.
"Kali terakhir kami bertemu arwah minggu lalu ketika dia bersama
keluarga pulang ke kampung dan kami sekeluarga berkumpul beramai-ramai
untuk berbuka puasa bersama," katanya ketika ditemui di rumahnya di
Kampung Jias, Kota Lama Kiri di sini.
Nur Suraya berkata, arwah bapa saudaranya itu sangat berpengaruh dalam keluarga dan selalu membantu adik-beradik yang lain.
"Dia sekeluarga kerap pulang ke kampung sekurang-kurangnya dua bulan sekali.
"Dia seorang yang sangat disenangi oleh semua orang kerana sikapnya yang peramah dan ringan tulang," katanya.
Dia berkata, buat masa ini mereka sekeluarga hanya dapat berdoa dan
menanti perkembangan membabitkan kejadian menimpa bapa saudara itu.
myMetro 18 Jul 2014
Luah hasrat tunai haji
Sepang: "Selain sempat mengelilingi kampung halaman, beliau turut
menyatakan hasrat untuk mengerjakan ibadah haji bersama kakaknya tahun
ini," kata sepupu kepada juruterbang pesawat MH17, Wan Amran Wan Hussin,
50, yang terhempas di timur Ukraine, semalam.
Menurut sepupunya yang mahu dikenali sebagai Yati, 46, dia sempat
menemui mangsa ketika mereka pulang bercuti di kampung halaman di
Kampung Kota Lama, Kuala Kangsar, Perak, minggu lalu.
"Pada waktu, dia tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara kecuali
turut sempat dua kali menziarah keluarga kami dan menasihatkan anak
saudara saya supaya belajar di sekolah agama.
"Namun, saya terkejut apabila menonton berita tempatan di televisyen dan
bergegas ke rumahnya di Alam Impian, Shah Alam bagi mendapatkan
kepastian," katanya ketika ditemui di perkarangan Anjung Tinjau KLIA di
sini, sebentar tadi.
Menurutnya, isteri Wan Amran, Mariam Yusof, 46, ketika itu dilihat masih
terpinga-pinga mengenai apa yang berlaku dan sedang mendapatkan
penerangan lanjut daripada MAS.
Kata Yati, sepupunya yang mempunyai dua anak lelaki berusia lapan dan 10
tahun itu berkhidmat sebagai juruterbang sejak 25 tahun lalu dan
disifatkan sebagai peramah serta kelakar.
myMetro 18 Jul 2014
'Anak tak pernah lupa hubungi saya'
Seremban: "Anak tidak pernah lupa menghubungi saya setiap kali bertugas
di luar negara. Memang itulah sifat dia, seorang anak yang baik sejak
dari mula dia bekerja hingga kini," kata Mustafa Abdul Samad, 83, bapa
kepada pramugari pesawat MH17, Mastura, 40, yang terhempas di Timur
Ukraine malam tadi berhampiran sempadan Rusia.
Menurutnya, anaknya ada menghubunginya Rabu lalu sebaik sampai di
Amsterdam, Belanda memaklumkan akan pulang ke tanah air hari ini dan dia
masih terkejut dengan laporan kejadian itu.
Katanya, Mastura sangat mengambil berat dirinya dan anak tunggalnya,
Muhriz Marzaidi, 10, yang tinggal bersamanya di Kampung Sentosa, Paroi,
Seremban.
"Saya hanya mengetahui kejadian itu jam 8 pagi tadi selepas diberitahu
oleh seorang jiran yang memantau melalui internet," katanya ditemui di
rumahnya pagi ini
Mustafa berkata, anak bongsu daripada tujuh beradik itu memang memintai kerjaya pramugari dan dia sekeluarga memberikan galakan.
"Saya sentiasa menasihati Mastura supaya bekerja bersungguh-sungguh dan menjaga keselamatan diri," katanya.
myMetro 18 Jul 2014
Teruja hendak pulang
JAMILAH menunjukkan gambar kenangan bersama anaknya. Gambar kecil, Ariza bersama suami dan anak.
Petra Jaya: "Ariza ada menghubungi kami sebelum berlepas (dari
Amsterdam) me minta supaya mengambilnya di Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuching (LTAK) kira-kira jam 4 petang (hari ini).
"Dia bersama suami dan anak dijadualkan pulang ke Kuching dari Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 2 petang ini untuk pulang
berhari raya dan terus bekerja di Shell Kuala Lumpur selepas tiga tahun
bekerja di Kazakhstan," kata Jamilah Noriah Abang Anuar, 72 ibu kepada
Ariza Ghazalee, 46, salah seorang penumpang MH17.
Ariza bersama suami Tambi Jiee, 48 dan empat anaknya Muhamad Afif 19,
Muhamad Afzal 17, Marsha Azmeena 15, Marsha Afruz, 13 dalam penerbangan
MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur untuk pulang menyambut Aidilfitri di
rumah ibunya di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR), Jalan Astana, di
sini.
Menurut Jamilah, anak kedua daripada lima beradik itu begitu teruja
untuk pulang kerana suaminya Tambi dapat bertukar ke Ibu Pejabat di
Kuala Lumpur.
Katanya, pada mulanya anaknya itu memaklumkan akan berada di Kuala
Lumpur selama tiga hari sebelum pulang ke Kuching tetapi membatalkan
rancangan itu kerana ingin berbuka puasa beramai-ramai bersama keluarga
di kampung.
"Sebaik mendengar berita itu saya sudah jangka sesuatu yang buruk
berlaku dan tunggu hingga pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak untuk pengesahan.
"Sebaik selesai sidang media kami menghubungi MAS untuk pengesahan dan
sah mereka enam beranak menaiki penerbangan itu," katanya ketika ditemui
di rumah anak sulungnya di Jalan Sultan Tengah, di sini, sebentar tadi.
Jamilah berkata, kini dia masih menunggu perkembangan lanjut dari MAS untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, suasana suram dan hiba menyelubungi perkarangan rumah
keluarga mangsa apabila semua adik beradik dan keluarga terdekat
berkumpul menunggu perkembangan lanjut mengenai nahas pesawat itu.
Kenalan dan jiran terdekat tidak henti datang berkunjung memberi kata semangat dan mengucapkan takziah.
Jamilah dan beberapa ahli keluarga beberapa kali dilihat melihat album gambar enam beranak itu.
myMetro 18 Jul 2014
Terima berita daripada menantu di Itali
Bukit Mertajam: "Sepatutnya anak kami tidak berada dalam pesawat itu namun dia menukar syif dengan kawannya.
"Dia dijangka pulang melawat saya dan isteri hari ini dan ibunya sudah
memasak makanan kegemaranya," kata Jijar Singh, 71, bapa kepada
pramugara pesawat MH17 Sanjid Singh Sandhu yang terhempas di Timur
Ukraine ketika ditemui di rumahnya di Taman Selamat, Alma sebentar tadi.
Jijar berkata, dia dan isterinya dimaklumkan mengenai tragedi menimpa
anaknya itu selepas menerima panggilan dari menantunya kini berada di
Itali.
Walaupun sedih dengan tragedi itu pasangan berkenaan menerima berita itu dengan hati yang tenang.
"Apa yang berlaku sudah berlaku, seluruh badan saya menggeletar ketika menerima berita ini 4 pagi tadi.
"Harap faham dengan keadaan kami, saya kurang sihat kerana baru sahaja menjalani dua pembedahan (bypass)," katanya.
Katanya, kali terakhir mangsa pulang melawatnya bulan lalu.
Kebiasaannya Sanjid akan menghubungi ibu dan bapanya itu setiap kali sebelum penerbangan.
myMetro 18 Jul 2014
Sedih jiran sebelah mangsa MH17
Seremban: "Keluarga jiran saya amat sedih dengan berita itu dan ramai
sanak saudaranya mula berkumpul di rumah mangsa seawal jam 5 pagi tadi,"
kata Mohd Ridzuan Abdullah, 45, jiran kepada pembantu juruterbang
pesawat MH17 Choo Jin Leong Eugene, 45.
Choo dipercayai terbabit dalam nahas pesawat itu yang dilaporkan terhempas di sempadan negara Ukraine dan Russia.
"Saya mengetahui jiran terbabit dalam nahas MH17 melalui panggilan
telefon daripada media jam 5.40 pagi tadi dan segera ke rumahnya yang
terletak bersebelahan rumah saya.
"Kali terakhir saya berjumpa dengannya Sabtu lalu dan saya lihat riak
wajahnya ada perubahan tetapi saya tidak menganggap ia petanda buruk,"
katanya ketika ditemui di perkarangan masuk perumahan Sri Carcosa,
Seremban 2, di sini.
Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana
Malaysia (IKHLAS) berkata, sepanjang berjiran lebih tujuh tahun lalu,
dia seorang jiran yang baik dan sering bertegur sapa dengan semua jiran
tanpa mengira bangsa.
Bagaimanapun, usaha menemubual keluarga tidak berhasil kerana mereka
tidak membenarkan media memasuki kawasan perumahan itu yang dikawal
ketat pengawal keselamatan.
Malah, difahamkan isteri Choo sudah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
myMetro 18 Jul 2014
Isteri menanti maklumat rasmi
Kuching: Seorang lelaki pekerja pelantar minyak berasal dari Bintulu
dipercayai antara penumpang yang terkorban dalam nahas pesawat MH17.
Mangsa Meling Mula, 48, dijadualkan pulang ke Bintulu semalam selepas bertugas di Venezuela selama dua bulan.
Dia dikatakan transit di Amsterdam sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur dan seterusnya Bintulu.
Menurut isteri mangsa, Sigut Kedit,39, dia mengetahui mengenai kejadian
itu melalui abangnya dan masih tidak percaya dengan maklumat yang
diterima.
Katanya, dia masih tidak menerima maklumat rasmi daripada MAS tetapi
abangnya sudah menghubungi syarikat penerbangan itu dan mengesahkan
suaminya menaiki pesawat malang itu.
Meling meninggalkan tiga anak Maryline Sindu, 18; Benedict Bana, 15, dan Gabriel, 8.
myMetro 18 Jul 2014
Kakitangan akademik UMS dalam MH17
Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengesahkan seorang
kakitangan akademiknya, Ng Shi Ing, 33, antara mangsa pesawat MH17
terhempas di sempadan Russia dan Ukraine, malam tadi.
Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah dalam satu kenyataan
berkata, mangsa yang berasal Muar, Johor adalah pensyarah Fakulti
Psikologi dan Pendidikan dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris
sebagai Bahasa Kedua (TESL).
Difahamkan Shi Ing ditugaskan menghadiri Persidangan Antwerp CALL 2014
di University of Antwerp, Belgium sebagai pembentang kertas kerja pada 7
hingga 9 Julai lalu sebelum menyambung cuti melancong di sana.
Dia dipercayai bersama anak lelaki berusia setahun dan adik perempuannya.
Shi Ing dijadualkan bertugas semula Isnin depan dan menaiki pesawat MH17 untuk pulang ke tanah air.
myMetro 18 Jul 2014
Sengaja ke tak...
TRAGEDI menimpa MH17 menimbulkan persoalan apakah pesawat itu terbang di
aras yang selamat iaitu pada ketinggian '330' iaitu kira-kira 10,000
meter atau 30,000 kaki sehingga membolehkannya terhempas di timur
Ukraine.
Selain itu, persoalan mengapa Malaysia Airlines memilih ruang udara zon
konflik iaitu di timur Ukraine sedangkan kebanyakan pengendali
penerbangan di Asia sudah tidak melakukannya, turut menjadi antara debat
antarabangsa.
Konsultan Whitesky Aviation yang berpangkalan di Jakarta, Gerry
Soejatman, berkata, setiap syarikat penerbangan sebenarnya mempunyai
kajian tersendiri berkaitan meluncur pada ketinggian berisiko.
Bagaimanapun, katanya, meluncur pada ketinggian 30,000 kaki atau 10,000
meter secara amnya adalah selamat bagi sebarang penerbangan.
“Sepuluh tahun lalu kita akan digelar bodoh jika terbang pada ketinggian
bawah 15,000 kaki di ruang udara Iraq. Tapi, 30,000 adalah satu paras
yang selamat. Oleh itu, ini bukan isu ketinggian penerbangan.
“Saya berpendapat, nahas ini akan memberikan satu isyarat kepada
syarikat penerbangan bahawa mereka harus mengkaji awal jika memilih
untuk terbang di ruang udara zon konflik dan ambil tahu apa yang ada di
bawah,” katanya.
Malaysia Airlines bukan satu-satunya syarikat penerbangan yang kerap menggunakan ruang udara Ukraine.
Air India dan Thai Airways mendakwa mereka terpaksa menukar laluan apabila mendapat berita pesawat MH17 terhempas.
Air China dan China Eastern Airways mempunyai kekerapan 28 penerbangan
seminggu menggunakan ruang udara timur Ukraine. Tapi, Pentadbir Udara
China sudah mengarahkan semua syarikat penerbangan tidak lagi
menggunakan ruang udara itu.
Vietnam Airlines turut mendakwa pihaknya menggantung semua penerbangan
jarak jauh ke Eropah serta-merta berikutan nahas menimpa pesawat
Malaysia Airlines.
Bagaimanapun, beberapa syarikat penerbangan Asia dan Pasifik seperti
Korean Air dan Asiana, Qantas dan China Airlines, mendakwa pihak mereka
sudah tidak menggunakan ruang udara timur Ukraine, kira-kira empat bulan
lalu - apabila tentera Russia bergerak masuk ke Crimea.
Jurucakap Qantas berkata, laluan London ke Dubai pernah menggunakan
ruang udara Ukraine, tetapi sudah menukarkannya beberapa bulan lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebelum ini dipetik berkata,
pihak berkuasa udara antarabangsa memberi jaminan kepada Malaysia
Airlines bahawa laluan itu selamat.
“International Air Transportation Association memberikan pengesahan
bahawa ruang udara yang digunakan oleh MH17 tidak termasuk dalam yang
dilarang,” katanya. - AP
18 Jul 2014
'Saya minta dia tukar bidang, dia tak nak'
Putrajaya: Ibu kepada Nur Shazana Mohamad Salleh, pramugari pesawat
Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine pernah
berkali-kali meminta anaknya itu supaya berhenti daripada menjadi
pramugari dan bertugas di bidang lain.
Sharom Ibrahim, 57, berkata permintaan itu dibuat kerana beliau risau
berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada anaknya lebih-lebih lagi
selepas berlaku kes kehilangan pesawat MH370 pada 18 Mac lalu.
"Tapi dia tak nak. Dia suka mengembara. Dia cakap orang jalan kaki pun
boleh mati. Saya cakap itu sekurang-kurangnya ada mayat, tapi dia cakap
lagi elok kalau kapal terbang terus meletup," katanya di sini hari ini.
Sharom yang berasal dari Pulau Pinang berkata, anaknya telah bertugas sebagai pramugari selama sembilan tahun.
Kali terakhir beliau bertemu anak sulungnya itu ketika mereka berbuka puasa bersama tiga minggu lalu.
"Saya reda. Cuma harap dapat mayat dia dengan elok. Sekurang-kurangnya ada kubur dia," katanya.
Nur Shazana adalah antara 15 anak kapal dan 283 penumpang Boeing 777
yang terhempas ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur
pada Khamis lepas.
Pesawat itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu
Belanda) dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 6.10
pagi Jumaat (waktu Malaysia).
myMetro 19 Jul 2014
Shazana periang, baik hati
Putrajaya: "Dia seorang yang periang, baik hati, berbudi bahasa dan suka
mengambil berat kawan-kawan ketika di sekolah," kata Nik Azizah Nik
Amirah, 31, rakan sekolah Nur Shazana Mohamed Salleh, 31, iaitu seorang
daripada pramugari MH17 yang terkorban dalam nahas membabitkan pesawat
berkenaan.
Nik Azizah berkata, sepanjang lima tahun bersekolah di Sekolah Tun
Fatimah, Johor Bahru bermula 1996 hingga 2000, Nur Shazana antara rakan
baiknya dan rapat di sekolah dan mereka sering menghabiskan waktu
bersama sepanjang masa.
"Lima tahun kami mengenali antara satu sama lain, kami saling sayang
menyayangi malah, bergaduh beberapa kali bersama dan kemudian berbaik
semula.
"Dia (Nur Shazana) seorang yang baik, ceria dan periang serta
menceriakan hari-hari kami di sekolah dan asrama," katanya ketika
ditemui selepas majlis bacaan Yasin dan tahlil anjuran Alumni Sekolah
Tun Fatimah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, semalam.
Kira-kira 30 bekas pelajar Sekolah Tun Fatimah kelompok tahun 1980 an,
1990 an dan 2000 hadir pada majlis berkenaan bersama keluarga
masing-masing.
Pada majlis berkenaan, alumni yang dikenali sebagai Srikandi Tun Fatimah
turut mengumpul sumbangan derma kilat kepada keluarga Nur Shazana.
myMetro 19 Jul 2014
Hijrah enam sekeluarga
Kuala Lumpur: Tulisan “17 July 2014 starting our new hijrah,
Alhamdulillah...” dalam akaun Facebook (FB) menggambarkan betapa
syukurnya seorang isteri bersama lima ahli keluarga, termasuk suami
menaiki pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 untuk pulang ke tanah
air selepas menetap selama dua tahun di luar negara.
Ariza Ghazalee, 46, turut memuat naik gambar beg pakaian mereka berserta
tulisan yang bermaksud ‘hijrah terbaru kami’ itu sejurus sebelum
berlepas dari Amsterdam.
Bagaimanapun, penghijrahan dari Kazakhstan ke Kuala Lumpur yang
dimaksudkan Ariza bertukar menjadi satu hijrah terakhir apabila dia
bersama suami Tambi Jiee, 48, dan empat anak, Muhamad Afif, 19, Muhamad
Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15, dan Marsha Afruz, 13, terbunuh dalam
tragedi yang meragut nyawa 283 penumpang dan 15 anak kapal itu.
Selepas dua tahun menetap di Kazakhstan, enam beranak itu mahu menyambut
lebaran di kampung halaman di Sarawak selain merancang terus menetap di
tanah air kerana Tambi akan memulakan tugas di ibu pejabat Shell di
sini, selepas Aidilfitri.
Penerbangan MH17 terhempas selepas dipercayai ditembak ketika melalui
ruang udara Donetsk, Ukraine, dekat sempadan Russia yang disifatkan
lokasi panas kerana menjadi medan pertempuran antara tentera kerajaan
Ukraine dan kumpulan pemisah pro-Russia.
Gambar yang dimuat naik Ariza di akaun FB miliknya dikongsi lebih 1,500
pengguna yang turut bersedih dengan kejadian yang menimpa Allahyarham
dan keluarga. Pada masa sama, anak keduanya, Muhamad Afzal, turut
menulis status FB yang menyuarakan kesedihannya untuk meninggalkan
Kazakhstan, malah menyifatkan perjalanannya kali ini sebagai amat sukar.
Antara lain, Allahyarham menulis: “Dua setengah tahun lalu, saya tiada
masalah berpindah ke sini (Kazakhstan) kerana tahu sentiasa boleh pulang
ke tanah air. Sekarang, saya akan pulang semula.
“Malangnya saya tidak mungkin dapat kembali lagi ke sini.
Sekurang-kurangnya dalam masa terdekat. Ia perjalanan yang amat sukar.”
Sementara itu, di Kuching, ibu Ariza, Dayang Noriah Abang Anuar, 72,
berkata, anak, menantu dan cucunya dijadualkan tiba di Kuching pada jam 2
petang semalam selepas penerbangan MH17 dari tiba di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 6 pagi.
myMetro 19 Jul 2014
Keluarga harungi tragedi berganda
Melbourne (Australia): Sebuah keluarga di Queensland yang kehilangan
anak lelaki dan menantu dalam tragedi Penerbangan MH370 pada Mac lalu,
meratapi kehilangan dua lagi anggota keluarga yang disahkan menaiki
Penerbangan MH17 yang terhempas di Ukraine.
Irene dan George Burrows dari Biloela, kira-kira tujuh jam perjalanan ke
utara Brisbane, kehilangan anak, Rodney dan menantu, Mary, apabila
Penerbangan MH370 yang dinaiki mereka untuk ke Beijing, hilang pada 8
Mac lalu.
Kini, cucu tiri perempuan mereka Maree dan suaminya Albert Rizk, dilapor
antara 27 rakyat Australia yang menaiki Penerbangan MH17 yang terhempas
di timur Ukraine berhampiran sempadan Russia.
Rizk, seorang ejen hartanah dan isterinya yang mendiami Sunbury,
Melbourne dilapor dalam perjalanan pulang ke Australia selepas bercuti
sebulan di Eropah. - Bernama
myMetro 19 Jul 2014
Senarai penuh penumpang MH17
Sepang: Malaysia Airlines (MAS) malam ini mengeluarkan senarai penuh
penumpang pesawat MH17 dan merayu ahli keluarga atau rakan mangsa segera
menghubungi syarikat penerbangan berkenaan.
Terdapat 193 warga Belanda (termasuk seorang dengan kewarganegaraan
Belanda/Amerika Syarikat, Malaysia (43 termasuk 15 anak kapal dan dua
bayi), Australia (27), Indonesia (12 termasuk seorang bayi), United
Kingdom (10 termasuk seorang dengan kewarganegaraan UK/Afrika Selatan),
Jerman (empat), Belgium (empat), Filipina (tiga), Kanada (satu), New
Zealand (satu).
Menurut kenyataan MAS, sejak 45 jam lalu pihaknya bekerjasama dengan
kedutaan negara-negara terbabit untuk menghubungi waris penumpang namun
masih ramai belum dapat dikesan.
Justeru waris diminta menghubungi Pusat Sokongan Keluarga MAS di talian +603 7884 1234 di Malaysia atau nombor-nombor berikut:
1. Belanda (Pejabat MAS Amsterdam) - +31205216252
2. Australia (Pejabat MAS Sydney) - +61293643526
3. Indonesia (Pejabat MAS Jakarta) - +62215229705
4. New Zealand (Pejabat MAS Auckland) - +6493063930
5. United Kingdom (Pejabat MAS London) - +442073412060
6. Jerman (Pejabat MAS Frankfurt) - +496913871980
7. Filipina (Pejabat MAS Manila) - +6328891863
Senarai nama penumpang juga boleh dilihat di link ini:
http://www.malaysiaairlines.com/content/dam/malaysia-airlines/mas/PDF/MH17/MH17%20PAX%20AND%20CREW%20MANIFEST.pdf
myMetro 20 Jul 2014
Hadiah air zam-zam kepada jiran
Seremban: “Hati saya sebak melihat keadaan Ivy yang lemah selepas dia mendapat tahu suaminya sudah tiada.
“Ketika kami berbual pagi semalam (kelmarin), dia (Ivy) dalam keadaan
tertekan,” kata Nor Salmah Amanullah, 40-an, rakan kepada Ivy Loi, 40-an
iaitu isteri pembantu juruterbang pesawat MH17, Choo Jin Leong Eugene,
45.
Nor Salmah berkata, dia bersahabat dengan keluarga Choo terutama Ivy
sejak tinggal berjiran empat tahun lalu di perumahan Sri Carcosa,
Seremban 2, di sini.
Katanya, tidak disangka insiden itu menimpa pembantu juruterbang berkenaan yang dianggap jiran yang baik dan berbudi bahasa.
Suami Nor Salmah, Mohamad Akhbar Abu Bakar, 45, pula berkata, Choo
pemurah apabila sering membelikan sesuatu untuknya setiap kali pulang
daripada bertugas.
“Baru-baru ini selepas pulang dari Jeddah, Arab Saudi, dia (Choo) menghadiahkan saya air zam-zam serta beberapa cenderamata.
“Saya terkejut apabila dia terbunuh dalam nahas pesawat MH17,” katanya.
Menurutnya, kali terakhir dia menemui pembantu juruterbang itu pada
minggu lalu ketika Choo berjoging di kawasan perumahan mereka.
“Ketika itu saya sempat berbual dengannya dan seperti biasa dia peramah dan tidak sombong,” katanya.
Sementara itu, seorang jiran yang enggan dikenali berkata, Ivy mendapat
tahu kejadian malang menimpa suaminya selepas diberitahu seorang lagi
jiran yang juga isteri kepada seorang juruterbang.
“Setahu saya, Ivy adalah bekas pramugari dan memiliki dua anak berusia 11 dan 13 tahun,” katanya.
Menurutnya, difahamkan beberapa pramugari Penerbangan Malaysia (MAS),
saudara mara dan ahli keluarga tiba di rumah mangsa kelmarin untuk
menenangkan Ivy.
Katanya, Ivy kemudian dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA) pada jam 11.15 pagi. “Difahamkan suaminya berasal dari
Sungai Petani di Kedah.
“Kedua-dua ibu bapanya dari kampung turut datang ke sini (Seremban) dan dibawa ke KLIA,” katanya.
myMetro 20 Jul 2014
Amran sentiasa bersedia
Shah Alam: “Saya dah ‘ready’ (sedia) kalau apa-apa terjadi,” kata kapten
pesawat MH17, Wan Amran Wan Hussin, ketika berborak panjang dengan
rakannya Nik Hilmi Kadir, 44, Selasa lalu.
Nik Hilmi yang juga jiran mangsa berkata, mereka sempat berbual
kira-kira dua jam berkenaan topik misteri tragedi MH370 sebelum ini,
selepas kedua-duanya menunaikan solat Tarawih di surau berdekatan.
“Beberapa hari sebelum dia berangkat ke Amsterdam, kami berborak panjang
dan saya bertanya sama ada dia sentiasa bersedia jika berlaku apa-apa
yang buruk ketika menjalankan tugas.
“Dalam keadaan tenang Wan Amran menjawab, dia sentiasa bersedia
menghadapi segala kemungkinan yang berlaku kerana mengetahui risiko
bekerja sebagai juruterbang,” katanya ketika ditemui selepas majlis
tahlil di surau Riadus Solihin, Alam Impian, di sini, malam kelmarin.
Menurut Nik Hilmi, dia tidak menyangka kata-kata sahabatnya menjadi
kenyataan dan seperti tidak percaya perkara itu berlaku kepada Wan Amran
kerana hanya baru beberapa hari lepas mereka berborak bersama.
“Saya dan Wan Amran sangat rapat dan kami saling melawat rumah
masing-masing, terutama jika ada majlis keraian, kerana jarak kediaman
hanya selang lima rumah. “Anak arwah berumur 10 dan 11 tahun juga selalu
datang bermain dengan anak saya, manakala Wan Amran sangat aktif dengan
aktiviti kemasyarakatan di sekitar perumahan ini,” katanya.
Menurutnya, ketika di dalam teksi sebelum bertolak ke Amsterdam, dia
melihat arwah seperti menyandarkan kepala di kerusi belakang teksi,
malah kelihatan seperti berfikir sesuatu.
“Saya menganggap mungkin dia berat hati untuk meninggalkan anak dan
isterinya memandangkan dia terpaksa pergi menjalankan tugas dan tidak
dapat berpuasa dengan keluarga.
“Saya tidak menyangka itu mungkin isyarat dia tidak akan pulang lagi,”
katanya sambil menyifatkan kapten pesawat itu seorang yang baik dan suka
senyum, malah sangat menyayangi keluarga.
Menurut Nik Hilmi, dia terkejut apabila menerima berita kejadian itu dan
rakan menghubunginya dengan memberi senarai nama kru yang terbabit
sebelum menyebarkan berita itu kepada jiran terdekat.
myMetro 20 Jul 2014
‘Ingin beraya di sini’
Putrajaya: “Mak cik berjanji dengan Tun Rahah Mohamad Noah untuk
menyambut Aidilfitri di sini kerana sudah lama tidak berhari raya
bersama, dan dia dalam perjalanan pulang selepas dua bulan bercuti di
rumah anaknya di Amsterdam,” kata Shahadat Edid Bey, 56, anak saudara
kepada Puan Sri Siti Amirah Parawira Kasuma, antara mangsa nahas pesawat
MH17.
Menurutnya, ini kali pertama mak ciknya ke Amsterdam seorang diri kerana
sebelum ini beliau akan membawa kawan atau saudara untuk menemaninya.
“Mak cik memang berhasrat berkumpul dengan keluarga di Malaysia untuk
menyambut Aidilfitri sebelum pulang ke Jogjakarta 28 Ogos ini.
“Sepanjang tempoh itu, mak cik akan tinggal dengan saya di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui, semalam.
Shahadat berkata, mereka sekeluarga berharap jenazah ibu saudaranya dapat dibawa pulang untuk dikebumikan.
“Kita faham mungkin jenazahnya tidak sempurna, tetapi seboleh-bolehnya
kami mahu mak cik dikebumi di sini supaya ada pusara untuk dilawati
nanti,” katanya.
Menurutnya, walaupun berusia 83 tahun, mak ciknya masih sihat dan tidak mempunyai penyakit.
Puan Sri Siti Amirah juga adalah nenek tiri kepada Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin
Hussein.
myMetro 20 Jul 2014
'Muhriz rindu ibu...'
Abu Ubaidah memangku Muhriz yang kelihatan sugul memegang gambar ibunya.
SEREMBAN – “Selasa lalu ibu masak banyak lauk. Ada kari daging, sayur
dan ikan siakap tiga rasa. Lepas kami buka puasa bersama, baru ibu ke
KLIA," cerita Muhriz Marzaidi, anak tunggal Mastura Mustafa 40, yang
terkorban dalam nahas MH17, Khamis lalu.
Muhriz yang baru berusia 10 tahun adalah murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Taman Tasik Jaya, di sini.
"Muhriz suka kurma ayam dan sup daging yang ibu masak. Sedap!
"Selalu, bila balik selepas pergi kerja beberapa hari, ibu mesti
masakkan makanan kegemaran Muhriz walaupun Muhriz tak minta," katanya
yang kelihatan seronok bercerita mengenai makanan kegemarannya yang
dimasak ibunya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sentosa, Paroi.
"Tapi, lepas ni..." rona gembira di wajah Muhriz tiba-tiba berubah sayu. Suara Muhriz bertukar sebak.
"Muhriz rindu ibu..." mata anak kecil itu mula bergenang. Selalu ibu
pergi kerja tiga atau empat hari dan paling lama pun hanya lima hari.
Tapi kali ini ibu tak akan pulang lagi..."
Walau cecair jernih yang bertakung di matanya semakin kelihatan, Muhriz seolah berusaha menahan tangis.
"Ibu selalu cakap pada Muhriz, ibu dah gembirakan Muhriz, Muhriz pun
kena selalu gembirakan hati ibu,” ada sendu di akhir ayatnya itu. Anak
kecil ini walau kelihatan tabah, tapi nyata menanggung rindu pada
ibunya.
Sewaktu Sinar Harian menziarah Muhriz, Exco Negeri Sembilan, Datuk Abu
Ubaidah Redza dan Adun Paroi, Mohd Ghazali Abdul Wahid turut berkunjung
di kediaman itu.
Sementara itu, bapa Mastura, Mustafa Abdul Samad, 83, berkata, dia
berharap jenazah Mastura dapat ditemui dalam keadaan lengkap supaya
dapat disempurnakan.
Katanya yang masih sedih dengan insiden yang menimpa anak bongsu
daripada tujuh beradik itu, dia juga mahu jenazah anak kesayangannya
dibawa pulang ke tanah air supaya dapat disemadikan di sini.
“Walau dalam apa jua keadaan sekali pun, saya mahu melihat wajah Mastura buat kali terakhir.
"Yang paling penting dapat disemadikan di sini supaya ada kubur dan kami
sekeluarga boleh selalu menziarahinya,” katanya dengan nada sebak.
Sinar Harian 20 Jul 2014
Sahur mengejutkan ahli keluarga - Zurusdi
TAMBI Giee dan Ariza Razali bersama
anak-anak adalah antara mangsa yang terbunuh dalam nahas MH17 setelah
ditembak jatuh di Ukraine.
PUTRAJAYA 19 Julai - Zurusdi Mohd. Hol, 46, sedang bersahur di rumahnya
dekat sini kira-kira pukul 4.30 pagi ini sambil menonton sidang akhbar
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kemalangan yang
menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Ukraine.
Saat itu, dia mula rasa terkejut kerana tidak menyangka satu lagi
insiden membabitkan pesawat MAS akan berlaku dengan jumlah mangsa
terbunuh seramai 295 orang melebihi 239 membabitkan pesawat MAS MH370
yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Bagaimanapun, perkara yang paling merisaukannya adalah apabila
teringatkan sepupunya, Ariza Razali, 46, yang tinggal di Kazakhstan dan
merancang untuk pulang ke Malaysia bersama suami dan empat anak mereka
yang menaiki penerbangan MAS dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Kerisauan tersebut akhirnya terjawab dan menjadi episod sedih buat
Zurusdi dan keluarganya apabila dia mendapat panggilan telefon daripada
kakaknya yang memaklumkan empat saudaranya itu adalah antara mangsa yang
terbunuh.
"Masa sahur saya tertanya-tanya, sidang media itu pasal MH370 atau MH17
sebab saya tidak tahu apa yang terjadi sebelum itu sehinggalah kakak
saya telefon.
"Saya sangat sedih. Saya dan Ariza sebaya dan membesar bersama sejak
kecil di Petrajaya, Kuching, hubungan kami terlalu rapat seperti adik
beradik," katanya ketika ditemui di lobi Hotel Marriott di sini semalam.
Menurutnya, Ariza tinggal di Kazakhstan sejak tiga tahun lalu kerana
mengikuti suaminya, Tambi Giee, 49, yang bekerja sebagai jurutera dengan
syarikat minyak, Shell.
Katanya, pasangan tersebut terkorban bersama empat anak mereka yang berumur antara 13 hingga 19 tahun dalam nahas tersebut.
Zurusdi berkata, tragedi itu memberi kesan kepada diri dan keluarganya
terutama kenangan terakhir bersama keluarga berkenaan pada Mac lalu
ketika mereka datang dari Kazakhstan untuk melawat ibunya yang terlantar
sakit di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"Mereka datang untuk melawat ibu saya sebelum dia meninggal dunia dan saya amat menghargai kehadiran mereka sekeluarga.
"Kami sekeluarga menerima kejadian ini sebagai takdir Allah SWT dan amat
berharap jika jenazah kesemua mereka dapat dibawa ke Malaysia untuk
dikebumikan," katanya.
Utusan 20 Jul 2014
Ibu pilu terima berita MH17 terhempas
GAMBAR kenangan Maimon Sarpan bersama
Mohamad Ghafar Abu Bakar yang dirakamkan di kediaman warga emas tersebut
di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah, Melaka.
MELAKA 19 Julai - Hati ibu mana yang tidak pilu apabila anak sulung
kesayangannya adalah antara 15 anak kapal pesawat Malaysia Airlines
(MAS) MH17 yang terhempas dipercayai ditembak pelancar peluru berpandu
di Ukraine kelmarin.
Maimon Sarpan, 74, berkata, luluh hancur hatinya setelah menerima
panggilan telefon daripada menantu, Normi Abdullah, 54, kira-kira pukul
12 tengah malam tadi memaklumkan pesawat dinaiki anak lelakinya, Mohamad
Ghafar Abu Bakar, 54, itu terhempas.
Mohamad Ghafar merupakan Ketua Pramugara pesawat yang lebih dikenali dengan panggilan Salem.
"Tak boleh nak cakap dah... Allah yang lebih tahu hati seorang ibu.
Hancurlah hati ini dan sedih juga dia (Mohamad Ghafar) tidak dapat balik
Hari Raya nanti sebab tiap-tiap tahun dia balik.
"Saya teringat sering kali pesan dekat dia supaya hati-hati kalau
belayar (penerbangan) dan banyak-banyak berdoa tetapi apa nak kata,
saya reda dengan pemergiannya
"Dia ada telefon saya beritahu dia tidak dapat balik Hari Raya pertama
sebab kena pergi China tapi dia tetap nak balik," katanya sambil
menangis ketika ditemui di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah dekat sini
hari ini.
Turut berada bersamanya ialah suaminya, Ismail Salleh, 74, bapa tiri kepada Mohamad Ghafar.
Turut menziarahi keluarga mangsa ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah yang
juga Ketua Puteri UMNO, Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Lendu, Sulaiman Mohd. Ali.
Maimon berkata, kali terakhir berjumpa dengan Mohamad Ghafar pada Isnin
lalu apabila dia pulang seorang diri ke kampung sekadar untuk berbuka
puasa.
"Tidak banyak yang kami berdua bualkan semasa dia balik berbuka puasa...
itu pun tak lama lepas berbuka dia hantar saya ke masjid kira-kira
pukul 8.30 malam dia terus balik ke Kuala Lumpur," katanya sambil
memegang foto anaknya yang bergambar bersama Tengku Mahkota Pahang,
Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bersama rakan sekerja.
Katanya, Mohamad Ghafar ada menghubunginya malam Selasa lalu memaklumkan
dia akan berangkat ke Belanda keesokan harinya dan dijangka pulang ke
tanah air awal pagi Jumaat.
Utusan 20 Jul 2014
'Sayang takkan selamanya sentiasa ada bersama abang' - Suami
PUTRAJAYA 19 Julai - "Sayang takkan selamanya sentiasa ada bersama
abang, suatu hari nanti sayang akan pergi temui Allah takkan kembali",
itu antara perbualan terakhir seorang daripada mangsa nahas Malaysia
Airlines penerbangan MH17, Mastura Mustafa dengan suaminya Mohamed
Affendi Khairuddin.
Mohamed Affendi, 43, berkata, isterinya yang merupakan kru penerbangan
itu juga sempat memohon maaf atas segala kesalahannya dalam perbualan
menerusi aplikasi Wechat itu.
"Saya terasa agak pelik tetapi saya menasihatkan dia semua orang akan
pergi bertemu Allah, tiada siapa yang kekal, tapi biarlah kita pergi
menghadap Allah dalam keadaan yang diredai," katanya selepas pertemuan
dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sebuah hotel, di
sini hari ini.
Mohamed Affendi yang juga seorang guru agama berkata, kali terakhir
beliau bertemu dengan isterinya itu adalah sebelum penerbangannya ke
Amsterdam.
Katanya, beliau maklum tentang insiden itu melalui abang Mastura juga merupakan kakitangan Malaysia Airlines (MAS).
"Saya memang rasa amat sedih sebab benda yang sebelum ini terjadi pada
orang lain macam kes kehilangan pesawat MH370, tidak disangka kini
berlaku pada saya," katanya.
Mohamed Affendi turut berharap agar jenazah isteri beliau dapat dibawa pulang supaya dapat disempurnakan sebaik mungkin.
Mengulas pertemuan dengan Perdana Menteri, Mohamed Affendi berkata,
beliau diberitahu besar kemungkinan jenazah akan dikenal pasti di
kawasan kejadian.
"Pihak keluarga akan diberitahu secepat mungkin mengenai urusan di sana," katanya.
Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang terhempas di
Ukraine malam semalam membawa 283 penumpang dari pelbagai negara dan 15
anak kapal.
Pesawat Boeing 777 itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari
(waktu Netherlands), Khamis dan dijadual tiba di Kuala Lumpur pada 6.10
pagi (waktu Malaysia) pada Jumaat. - BERNAMA
20 Jul 2014
Akhirnya maut memisahkan pelajar Malaysia, Belanda
KUALA LUMPUR 19 Julai - Bekas pelajar Melbourne University, Elaine Teoh
dan teman lelakinya, Emiel Mahler, yang terkorban dalam tragedi MH17
merupakan pasangan kekasih yang amat menghormati satu sama lain hingga
ke akhir hayat mereka, kata rakan baik mereka Tan Sook Theng.
"Melihatnya begitu bahagia di alam percintaan membuat saya, sebagai
seorang kawan, berasa sungguh bersyukur kerana nasib mempertemukan
mereka dan alangkah baiknya jika semua orang mempunyai hubungan baik
seperti yang terjalin antara mereka.
"Mereka menjadikan kehidupan satu sama lain begitu bahagia, sambil
mempamerkan kebaikan masing-masing. Sesungguhnya, mereka saling
melengkapi kehidupan satu sama lain," katanya kepada Bernama melalui
e-mel.
Sook Theng, 27, yang berkawan rapat dengan Elaine sejak 13 tahun lepas,
bercadang menjemput rakannya itu di Lapangan Terbang Antarabangsa KL
(KLIA) pada 6.10 pagi hari berkenaan, sebelum mengetahui bahawa pesawat
yang dinaiki pasangan itu terhempas di Ukraine.
"Kali terkahir kami berhubung melalui Whatsapp ialah pada hari dia
menaiki pesawat berkenaan dan kami tidak sabar untuk bertemu kembali
setelah berjumpa kali terakhir pada Januari tahun ini.
"Kami merancang mengisi hujung minggu ini bersama-sama dan selama ini,
kami saling berhubung setiap minggu. Sekarang, tak ada lagi semua itu,"
kata Sook Theng dengan nada sedih.
Sambil menyifatkan Elaine sebagai seorang yang pintar, kelakar dan
manis, Tan berkata, rakannya itu sering menjadi tempatnya berkongsi
pelbagai perkara dan meminta pertolongan.
"Dia baik hati, bersemangat tinggi dan penyayang. Dia ibarat anggota keluarga saya sendiri," kata Sook Theng.
Elaine, yang berasal dari Pulau Pinang, dan Mahler, warganegara Belanda,
kedua-duanya berusia 27 tahun, tinggal di Melbourne dan bertugas dalam
bidang kewangan. Pasangan yang mula menjalin ikatan pada 2012 ini
bercuti di Portugal dan Belanda sebelum menaiki Penerbangan MH17 pada
tengah hari Khamis dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Hingga kini, laman Facebook Elaine dan Mahler dibanjiri mesej oleh
anggota keluarga dan rakan mereka untuk mengucapkan takziah tentang
pemergian pasangan itu.
Tulisan terbaru dalam Facebook Elaine berbunyi: "Pergimu terlalu awal,
antara manusia paling baik, mesra dan berhemah yang pernah saya jumpa.
Wanita yang tidak lokek dengan senyuman dan berjiwa besar."
Rakan Mahler bernama Jee Wok Jung pula menulis dalam laman Facebooknya:
"Kami akan amat merinduimu. Lelaki yang amat baik, kami tidak akan lupa
semua saat indah ketika bersamamu dulu. Tenanglah kamu di sana, duhai
sahabat!"
Sementara itu, saudara lelaki Elaine bernama David Teoh menulis dalam
laman Facebooknya: "Walaupun kami faham terdapat pelbagai pendapat dan
komen tentang MH17, tetapi saya meminta semua kawan saya supaya terus
bersikap bijak dan tenang apabila membicarakan tentangnya dan berdoalah
untuk keluarga saya ketika kami menghadapi detik-detik yang mencabar
ini. Doa dan ingatan anda amat kami hargai."
Pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17, yang membawa 298
penumpang dan anak kapal, terhempas di timur Ukraine ketika dalam
penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada Khamis. - BERNAMA
20 Jul 2014
Ayah pulanglah...
GAMBAR kenangan Meling (kiri) bersama keluarga.
Kuching: “Apai (ayah) pulanglah... ayah janji nak bawa kami jalan-jalan
ke Miri,” itu rintihan Maryline Sindun, 18, anak sulung kepada Meling
Mula, 48, pekerja pemasang perancah sebuah syarikat minyak dan gas yang
dipercayai antara penumpang pesawat malang MH17.
Maryline yang masih tidak dapat menerima kenyataan mengenai apa yang
menimpa bapanya, hanya menangis ketika dihubungi dan enggan meneruskan
perbualan.
Dia tidak sangka hasrat untuk berjumpa bapanya kelmarin tidak
kesampaian, sebaliknya menerima perkhabaran buruk yang sehingga kini
sukar dipercayai.
Dalam pada itu, isteri Meling, Sigut Kedit, 39, berharap pihak MAS
segera memberi pengesahan rasmi bagi membolehkannya ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, dia merancang ke Kuala Lumpur untuk mengetahui perkembangan
lanjut mengenai tragedi itu kerana semua maklumat berpusat di sana.
myMetro 20 Jul 2014
Aku hilang ‘superhero’
Kuala Lumpur: Seluruh negara masih tersentak dan diselubungi kesedihan
berikutan tragedi pesawat penerbangan MH17 yang mengorbankan 298 nyawa
penumpang dan anak kapal di timur Ukraine, Khamis lalu.
Rakyat Malaysia pula tidak henti-henti meluahkan meluahkan perasaan
mereka selain berkongsi kata-kata semangat dengan keluarga mangsa.
Antara yang menggunakan laman sosial untuk meluahkan perasaan sedih dan
rindu ialah Nur Diyana Yazeera Yazli, 15, anak perempuan tunggal
pramugari MH17 Dora Shahila Kassim.
Sejak dua hari lalu, melalui akaun Instagram miliknya, Diyana banyak
memuat naik gambar dia bersama ibunya serta mesej yang menyatakan dia
sudah kehilangan ‘superhero’ dalam hidupnya.
“Semua orang terkejut dengan kehilangan mummy tapi apa boleh buat, Allah
lebih sayangkan mummy. Kasih sayang saya juga tidak setanding dengan
kasih sayang Allah.
“Mummy mungkin susah di dunia, tapi InsyaAllah mummy senang sangat masa
akhirat nanti. Saya sayangkan mummy dan akan sentiasa berdoa untuk
mummy,” tulisnya.
Di laman Twitter pula, Diyana yang menggunakan nama @DiyanaYazeera
menulis mesej ‘Ya Allah please grant my mother Jannah. Please. Amin’ (Ya
Allah, kurniakanlah syurga buat ibuku..Amin).
Pelajar tingkatan tiga Kolej Tunku Kursiah, Seremban itu juga menerima
banyak kata-kata semangat daripada rakan serta pengguna Instagram dan
Twitter dari seluruh dunia.
myMetro 21 Jul 2014
Kita jumpa di Padang Mahsyar, kata akhir mangsa
KUALA LUMPUR - "Kalau kita tak jumpa dekat sini, kita jumpa di Padang
Mahsyar," itulah kata terakhir Mohd Afif Tambi Jiee, seorang daripada
mangsa nahas pesawat MH17 sebelum meninggalkan rumah sewanya di Petaling
Jaya untuk bercuti bersama keluarga di Kazakhstan.
Rakan serumahnya Khairil Azwan, 21, berkata beliau tidak menyangka itu
adalah ungkapan terakhir Afif, 19, selepas peperiksaan akhir pengajian
asasi di Taylor's University.
"Yang saya ingat sekali bila kali terakhir jumpa, dia nak keluar rumah
dan kemas barang macam nak pergi lama padahal cuti asasi kejap sahaja
dan bila saya tanya kenapa kemas banyak barang, dia diam saja," katanya
kepada pemberita selepas majlis bacaan tahlil anjuran Taylor's
University di sini hari ini.
Khairil berkata Afif seorang kawan yang baik dan banyak memberi nasihat kepadanya.
"Dia banyak nasihat saya tentang dunia dan akhirat, cara pemikirannya
juga sangat matang, jadi dia bukan jenis kawan yang biasa, Afif seorang
kawan yang sukar dicari," katanya dengan sebak.
Afif, anak sulung daripada empat beradik, menamatkan pengajian asasinya
dalam bidang arkitek di universiti swasta itu dan beliau sepatutnya
memulakan pengajian ijazah pertamanya pada Ogos ini.
Sementara itu, seorang lagi kawan Afif, Nadine Saedah Nasaruddin, 19,
terkejut mendengar tragedi itu yang telah mengorbankan rakan sekelasnya
dan amat sukar baginya menerima pemergian kawan yang dianggap sebagai
seorang yang sangat periang.
"Beliau mempunyai penampilan yang menawan, dia pelawak dalam kumpulan
kami, dia buat semua orang ketawa sepanjang masa, jika anda bersedih,
dialah yang akan menceriakan anda dan dia selalu berfikiran positif.
"Saya akan merindui teks rambangnya, saya kehilangan seseorang yang
sangat rapat walaupun saya mengenali beliau hanya setahun tetapi saya
rasa seperti telah mengenalinya bertahun-tahun," katanya.
Dalam nahas itu, Mohd Afif bersama ayahnya Tambi Jiee, 49, ibunya, Ariza
Ghazalee, 46, dan tiga lagi adik beliau - Mohd Afzal, 17, Marsha
Azmeena, 15, dan Mohd Afruz, 13, dalam perjalanan balik dari Kazakhstan.
Bapanya bekerja dengan syarikat Shell di negara itu sejak tiga tahun
lepas dan baru mendapat kebenaran untuk bertugas di Kuala Lumpur. -
Bernama
21 Jul 2014
12 years after losing her husband, Mardiani loses another
KLANG: MAS flight attendant Mardiani Mahdi lost her husband Zainal
Abidin Ismail to cancer 12 years ago when their son was only a year old.
After remaining single for almost nine years to concentrate on raising
Zulhilmi, now 13, she married MAS steward Shaikh Mohd Noor Mahmood three
and a half years ago.
The couple’s daughter Siti Darwiysha Zulaika turned two a month ago.
Fate delivered Mardiani a cruel blow again almost two weeks ago when Shaikh Mohd Noor was killed in the MH17 tragedy.
“This is the second time I have lost a husband. Although I am saddened, it has only made me stronger.
“As a Muslim, I believe it’s a test from above,” said the Sarawak-born Mardiani.
She is currently staying at the Putrajaya Marriot Hotel with her
daughter, her son and Shaikh Mohd Noor’s three children from his
previous marriage – Shaikh Danish, 13, Danisha, 11, and Shaikh Al
Darwish, five, as well as her sister Mawarni.
Family members of the MH17 victims are being provided accommodation and counselling at the hotel.
Mardiani said Shaikh Mohd Noor’s parents wanted her to stay at their
home in Taman Chi Liung here while waiting for news about her husband’s
remains.
However, Mardiani said she could not bring herself to do so.
“Memories of being together with him haunts me when I am at his parents’
place or at our home in Puchong. That is why I prefer being in the
hotel,’’ said Mardiani.
She said she did not want to think too much and was focusing on one day at a time.
“I will be going back to work as a ground staff on Aug 1 and will keep myself busy,” said Mardiani.
She said although it had been confirmed that everyone on the ill-fated
aircraft had perished, she would only be able to emotionally accept her
husband’s demise when his remains are identified and sent home.
She said her daughter was also very subdued and cried a lot.
“I believe it’s her intuition telling her something has happened to her
father although she is too young to understand what is going on,” she
added.
Mardiani said the child was also very restless and had not been sleeping well.
“She was much closer to her father than she is with me,” said Mardiani.
She said Shaikh Mohd Noor was a romantic, caring and jovial person who cracked jokes and created a lot of laughter in her life.
“I miss him a lot,’’ said Mardiani.
The Star 30 Jul 2014
Sayu lihat kad Aidilfitri
Sepang: “Saya tidak dapat menggambarkan rasa sayu dan hiba apabila
sempat melihat beberapa keping kad raya milik penumpang nahas MH17 warga
Malaysia ketika menerima bungkusan berisi mayat serta barangan peribadi
mangsa nahas di Kharkiv, Ukraine pada 23 Julai lalu,” kata Timbalan
Komander Pasukan Pengecaman Mangsa Nahas (DVI) Malaysia Deputi
Superintendan Mohd Hakim Hashom.
Mohd Hakim berkata, selain kad raya berkenaan, beliau bersama ahli DVI
lain turut menemui pakaian seragam milik kru MH17, tas tangan, diari dan
tag bagasi milik penumpang warga Malaysia yang dikumpulkan kumpulan
pemberontak pro-Rusia di lokasi nahas.
Menurutnya, beliau sudah lama berdepan dengan urusan pengendalian mayat
kes jenayah, namun pengalaman itu tidak sama dan berbeza sekali ketika
mengendalikan mayat mangsa nahas MH17.
“Bagaimanapun, demi mempercepatkan urusan pengendalian mayat, kami
terpaksa tabahkan diri memandangkan ada mayat warga Malaysia yang
terbabit nahas itu.
“Selain merakam dan meneliti mayat nahas untuk proses pengenalan dan
pengecaman, kami juga terbabit memindahkan barangan peribadi mangsa
nahas ke dalam beg mayat mangsa.
“Sebaik menerima bungkusan mayat mangsa daripada kumpulan pemberontak
pro-Rusia, beg berisi mayat serta barangan peribadi milik mangsa
diasingkan dan ia menjadi tugas kami untuk memindahkan barangan itu ke
dalam beg mayat mangsa berdasarkan bukti pengenalan ditemui pada
mangsa,” katanya ketika ditemui media sebaik tiba di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Amsterdam, Belanda petang semalam.
Mohd Hakim bersama 10 anggota dan pegawai DVI Malaysia adalah kumpulan
kedua petugas khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tiba di tanah air
selepas menyertai pasukan DVI antarabangsa bagi pengecaman mayat dan
kerja-kerja forensik di lokasi nahas di Donetks; Kharkiv, Ukraine;
Torez, Ukraine dan Kem Tentera Hilversum, Belanda. Ketibaan mereka
disambut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad
Salleh pada satu majlis ringkas sambutan pasukan itu di sini semalam.
Dalam pada itu, Mohd Hakim berkata, pihaknya juga terpaksa memindahkan
beg berisi mayat dari gerabak kereta api sebelum dibungkus semula dengan
sempurna dan diletakkan ke dalam keranda untuk di bawa ke Kem Tentera
Hilversum, Belanda bagi proses bedah siasat dan pengecaman identiti
seterusnya.
Menurutnya, ketika itu, pihaknya turut merekodkan segala maklumat
peribadi mangsa nahas berdasarkan barangan peribadi milik mangsa yang
ditemui di lokasi nahas.
“Tugas pasukan di Kharkiv dan Torez adalah menguruskan proses identifikasi mangsa bencana mengikut standard antarabangsa.
“Kami adalah pasukan terawal melihat mayat-mayat mangsa selepas
diserahkan kumpulan pemberontak pro-Russia dalam gerabak kereta api.
Kami bukan saja perlu buat identifikasi mayat warga Malaysia, tetapi
rakyat negara lain dengan kerjasama pasukan DVI dari Belanda, Australia,
Amerika Syarikat, Brazil dan Kanada,” katanya.
Katanya, pihaknya turut menyedekahkan surah Al-Fatihah setiap kali
menerima mayat beragama Islam selain bertafakur selama satu minit bagi
menghormati mayat bukan Islam.
Ditanya mengenai pengalaman berpuasa sambil menguruskan mayat mangsa
nahas di Ukraine, Mohd Hakim berkata, menu berbuka puasa mereka di
negara itu hanya roti, tomato dan timun.
“Kami akui berdepan kesukaran mendapatkan makanan halal di sana dan kami
hanya dibekalkan dengan roti dan dua jenis sayuran sebagai menu
berbuka.
“Malah, ia juga adalah menu sama buat kami ketika menyambut 1 Syawal di
sana, namun sebagai anggota polis kami bersedia menghadapi apa juga
kemungkinan,” katanya.
myMetro 11 Ogos 2014
‘Lupa perasaan sedih, takut’
Sepang: “Sebagai manusia biasa saya akui perasaan takut itu wujud, namun
kembali bersemangat kerana memikirkan kehadiran saya ke sana adalah
untuk membantu (menyiasat),” kata Inspektor How Xin Ni, 27, salah
seorang daripada enam pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang
ditugaskan menyertai pasukan Pengecaman Mangsa Nahas (DVI) antarabangsa
di lokasi nahas MH17 di Ukraine.
How yang kini bertugas di Makmal Forensik Bukit Aman berkata, dia juga
mengakui berdepan dua perasaan berbeza terutama pada sebelum dan selepas
tiba di lokasi nahas MH17 di Donetsk, Ukraine.
Menurutnya, sebagai manusia biasa pastinya perasaan takut dan sedih itu
muncul namun sebaik melihat barangan peribadi mangsa nahas warga
Malaysia dia kembali bersemangat untuk menjalankan siasatan.
How antara dua pegawai polis wanita yang tiba di KLIA semalam manakala
tiga lagi pegawai wanita lain masih berada di Amsterdam. , Belanda bagi
menyertai penyiasatan forensik nahas manakala seorang lagi pegawai
wanita tiba kelmarin.
Katanya, ketika berada di lokasi nahas, dia bersama pegawai wanita lain
dilayan sama rata malah diberi tugas sama seperti pegawai penyiasat
lain.
“Kami tidak berasa tersisih kerana pasukan siasatan antarabangsa lain
termasuk Belanda dan Australia turut menempatkan anggota dan pegawai
penyiasat wanita dalam pasukan masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Inspektor Lilian Lemat Ngau Jok, 29, dari Pusat
Identifikasi Forensik Setempat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala
Langat pula berkata, dia mengakui keluarga pada awalnya agak keberatan
mahu melepaskannya ke Ukraine kerana keadaan tidak begitu selamat serta
berbahaya di lokasi nahas namun demi tugas untuk negara dia terpaksa
akur dengan arahan.
“Bagi saya perasaan emosi dan sedih tetap ada kerana ia (nahas)
membabitkan warga Malaysia namun demi tugas saya terpaksa melupakan
emosi itu buat sementara waktu,” katanya.
Rakannya, Inspektor Yam Tze Yong, 34, berkata, pengalaman menyertai
operasi pertama membabitkan nahas pesawat terutama di luar negara sangat
berharga.
Katanya, walaupun terdapat ancaman keselamatan sepanjang bertugas di
Ukraine namun dia perlu sentiasa berhati-hati serta mengikut arahan yang
diberikan.
“Saya ditugaskan mengambil semula barangan mangsa nahas yang dikutip
penduduk kampung dan sepanjang menjalankan tugas, mereka memberi
kerjasama baik.
“Memang perasaan risau itu ada apatah lagi berada di kawasan konflik,”
seperti itu namun apa yang penting sentiasa berhati-hati serta menurut
arahan” katanya.
myMetro 13 Ogos 2014
Gambar jadi pelepas rindu keluarga
Gambar Azrina yang menjadi teman pelepas rindu keluarganya.
ALOR SETAR - Beberapa keping gambar krew kabin MH17, Azrina Yakob, 41,
masih tersusun di ruang tamu kediaman orang tuanya di Kampung Kelompang,
dekat sini.
Bapanya, Yakob Silamsudin, 73, dan ibunya, Habibah Ismail, 65, dikatakan
menjadikan gambar berkenaan sebagai teman pelepas rindu mereka terhadap
dirinya.
Yakob berkata, anak kedua daripada empat beradik yang menjadi pramugari
ini sepatutnya menaiki pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu.
"Namun, dia tidak dapat berbuat sedemikian sebab masalah Visa.
"Saya tidak sangka dia akan pergi jua meninggalkan mereka sekeluarga
akibat nahas MH17 pada Julai lepas," katanya kepada Pengerusi Biro
Kebajikan UMNO Bahagian Alor Setar, Zamri Mat.
Zambri berkata, mereka turun padang menemui keluarga mangsa nahas berkenaan bagi membantu dan memberi sokongan buat mereka.
Katanya, mereka memberi kata-kata perangsang kepada keluarga berkenaan
agar terus kuat dan tabah hati mengharungi hari mendatang.
“Pada mulanya, sisa kesedihan masih terpancar di wajah mereka, namun
selepas lama berbual. Alhamdulillah, kita lihat mereka makin tabah,”
katanya.
Menurutnya, apabila dia bersama pergerakan Pemuda dan Puteri bahagian
dan Skuad Sayang berkongsi kesedihan berkenaan, mereka kelihatan makin
baik.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan hasrat pramugari menyambut Syawal
bersama keluarganya tidak kesampaian apabila dia maut dalam nahas
pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.
Pesawat MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal terhempas di
Ukraine berdekatan sempadan Rusia dipercayai akibat ditembak.
Sinar Harian 13 Ogos 2014
Jenazah Mohd. Ghafar disemadi sebelah pusara anak
KUALA LUMPUR - Jenazah Penyelia Penerbangan Kabin pesawat Penerbangan
Malaysia (MAS) MH17, Mohd. Ghafar Abu Bakar akan disemadikan di sebelah
pusara anak lelakinya di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang
esok.
Isteri Allahyarham, Normi Abdullah, 54, berkata, arwah akan dikebumikan
bersebelahan pusara anak ketiganya, Arif Aiman, 12, yang meninggal dunia
pada 2006 akibat kanser.
Beliau berkata, wakil MAS yang hadir ke rumahnya pada 2 petang tadi
memaklumkan jenazah suaminya dijangka tiba di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi esok.
Jenazah yang menaiki pesawat MAS itu, diiringi tiga orang anaknya iaitu
Sa’imah Baizura, 29, Ammar Syarif, 25, dan Afi Hazim, 14, bersama bapa
saudara mereka Luqman Abdullah, 49, dari Amsterdam ke Malaysia.
"Jenazah akan dibawa pulang ke rumah seketika bagi memberi peluang
kepada keluarga terdekat dan sahabat handai menziarahi arwah sebelum
disembahyangkan di Masjid Bukit Indah, Ampang," katanya kepada Bernama
ketika ditemui di rumahnya di Ampang dekat sini, hari ini. - Bernama