Ketik sini akan bantu Blog ini

Seyogia

☼ ◙ ☼ ◙ ☼ ◙ Resah lebih kepada situs yang menemukan nilai diri Penyair iDANRADZi... ianya sekadar isu sisi bagi memeriah situs utama yang telah lama berkembang... terselit pelbagai makna yang nyata & tersembunyi. ☼ ◙ ☼ ◙ ☼ ◙... Resah lebih kepada situs yang menemukan nilai diri Penyair iDANRADZi

Isnin, 26 Ogos 2013

Ibu segala tipu

A Samad Said, 11 Mei 2013



Dengan sanubari sequdus hasrat
lelangkah yang luhur sepadu hajat
kita berhimpun sepenuh harapan
sedia tentang inti kemungkaran.

Awalnya segala tersenyum ilham
cuaca dan hajat akrab bersalam.
Kita memangkahnya secekal kalbu
rindu memahat sejarah yang syahdu.

Iklim yang gusar tetiba meledak
ketika kendera menyusup rahsia,
dan demokrasi sengaja dikocak
sebijak helah sekejam pendera.

Kertas undi yang terkumpul berbalam
sopan dan segan diusik khayalan,
sebaik senja disenyumi malam
sesenyapnya bermula pencemaran.

Malam debaran tersentap amarah,
cahaya bulan dikoyak-koyaknya,
rahsia gelap memulai dosanya,
berterbanganlah undi yang ditambah.

Kita berhimpun di padang sejarah
demi melawan kemungkaran baru;
demokrasi wajar dipelihara
daripada ibu segala tipu.

Sasterawan Negara
A Samad Said,
Himpunan ‘Suara Rakyat Suara Keramat’,
Kelana Jaya,
8 Mei 2013

Mumia Firaun

Hana al-Amin, 23 Ogs 2013
Sadarulkalam keberadaan si Maharaja
bersalasilah penaklukan , kuasa dan harta
zalim,mewah dan angkuh.......
tersemadi dimonumen piramid utuh
lambang hamba abdi rakyat yang patuh
dimumia dimuzium kaca
kebesaran si Maharaja pemerintah sahara
legenda susur galur purbakala
di sejarah berkurun masa
sekujur  mayat mumia kaku
di keranda bersama perhiasan lalu
semasa kemewahan duniawi dinikmati
terahsia di piramid gurun kalahari

Hidup dibawah langit terbuka jalur lebar
tidak diawet seperti mumia kaku pejar
kerana keberanian tidak semestinya
diukur gagah perkasa laskarnya
tetapi berani pertahan hak yang dipipis
di dunia bertopeng  demokrasi  imperialis
bangun juang bersama jihad wira
mahsyar lautan manusia menuntut bela
seluruh pelosok  dataran timur dan barat
senyum Raba’ah  al-Adawiyah kafan syuhada


Ini bukan khabar khayalan
mereka pendukung jihad berdemonstran
di setiap dataran dan lorong
tidak hirau peluru dihambur
mensasar himpunan berkampong
hatta rakus sniper menabur
tak peduli bahkan bangga
mengusung syuhada terbujur
bergelumang darah yang membasah
pejuangnya tekad memecah benteng penipuan
walau ramai wiranya terkorban
tragedi terawih, subuh berdarah dan bersahur
solidariti tak akan undur, bahkan akur
menghambat junta penjarah bertopeng mumia
pewaris Mahararaja Firaun angkuh menipu dunia.

Hana al-Amin
Kota Bharu.
30 julai 2013